
PHNOM PENH: Kemboja menyambut Aidilfitri, perayaan paling utama dalam masyarakat Islam, pada Sabtu, iaitu hari pertama Syawal.
Umat Islam di negara itu, yang berjumlah sekitar 850,000 orang, bersama lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia meraikan lebaran selepas berakhirnya Ramadan.
Walaupun merupakan kumpulan minoriti di negara itu, umat Islam Kemboja menyambut perayaan ini dengan penuh penghayatan serta tradisi meriah yang memperkayakan kepelbagaian budaya negara.
Perdana Menteri Hun Manet dalam hantaran di Facebook pagi ini mengucapkan selamat meraikan Aidifitri kepada komuniti Islam serta memuji sumbangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian sosial, selain sokongan berterusan terhadap pembangunan negara.
“… komitmen berterusan umat Islam Kemboja dalam menyokong Kerajaan Diraja dalam semua keadaan, termasuk usaha mempertahankan kedaulatan wilayah serta menggalakkan pembangunan sosioekonomi,” kata Manet.
Walaupun negara itu berdepan pelbagai cabaran seperti pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pertikaian sempadan dengan negara jiran Thailand serta kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat, komuniti itu tetap menyambut Syawal mengikut tradisi Islam.
“Tahun ini merupakan ujian sukar namun juga masa paling bermakna bagi umat Islam Kemboja selepas 1979 (berakhirnya pemerintahan Khmer Rouge), memandangkan kemampuan mereka mengharungi sebulan disiplin fizikal dan rohani serta cabaran lain seperti kesan konflik sempadan dan kelembapan ekonomi,” kata Timbalan Pengarah Utama Pusat Dokumentasi Kemboja, Farina So kepada Bernama.
Di seluruh negara, umat Islam Kemboja yang terdiri daripada etnik Cham, etnik Chvea (keturunan Jawa) serta umat Islam daripada pelbagai latar belakang lain, menghulurkan sumbangan, pakej makanan dan zakat kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri, katanya.
Aktiviti berlangsung meriah di sekitar 650 masjid di seluruh negara, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, dengan masyarakat mengekalkan tradisi lama dalam menyemarakkan semangat Syawal.
Hubungan antara etnik dan kumpulan turut diperkukuh melalui majlis berbuka puasa serta pameran hidangan dan tradisi masyarakat Islam semasa sambutan Aidilfitri, kata Farina.
Sejak beberapa dekad, umat Islam hidup dalam suasana harmoni bersama majoriti penganut Buddha di Kemboja, yang mempunyai sekitar 17 juta penduduk.
“Solat tarawih pada waktu malam mengeratkan hubungan komuniti, manakala perhimpunan keagamaan mencerminkan kehidupan bersama yang aman di Kemboja.
“Konsep perpaduan dalam kepelbagaian sentiasa ditekankan. Walaupun terdapat perbezaan kepercayaan agama, sikap saling menghormati dan toleransi menjadi kunci kepada kehidupan bersama yang aman dan keharmonian beragama di Kemboja,” katanya. – Bernama