
ISTANBUL: Umat Islam di seluruh dunia menyambut hari pertama Aidiladha atau Hari Raya Korban pada hari ini, yang merupakan antara perayaan keagamaan utama dalam Islam, lapor Anadolu Ajansi.
Perayaan ini bagi memperingati ketaatan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT dan kesediaan baginda untuk mengorbankan anakandanya sebagai tanda patuh kepada perintah Ilahi. Umat Islam menyambut perayaan ini dengan menunaikan solat sunat, menikmati hidangan bersama, memberi sedekah, dan berkumpul bersama orang tersayang.
Sebagai sebahagian daripada tradisi, banyak keluarga melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti biri-biri, kambing, atau lembu. Daging korban itu kemudiannya diagihkan kepada saudara-mara, jiran tetangga, dan golongan yang memerlukan.
Aidiladha juga mempunyai kaitan rapat dengan ibadah haji tahunan di Arab Saudi.
Rukun haji bermula secara rasmi pada Isnin dengan ketibaan jemaah di Mina, barat Arab Saudi, di tengah-tengah penyediaan perkhidmatan yang meluas dan langkah keselamatan yang ketat bagi memudahkan urusan jemaah.

Musim haji selama enam hari itu merangkumi ibadah wukuf di Arafat pada Selasa, mabit (bermalam) di Muzdalifah, melontar jamrah secara simbolik, dan tawaf widak (tawaf selamat tinggal) di Masjidil Haram, Makkah.
Ibadah haji terdiri daripada beberapa rukun dan wajib haji yang melambangkan konsep asas dalam akidah Islam serta memperingati ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS bersama keluarga baginda.
Di Turkiye, sambutan bermula dengan solat sunat Aidiladha pada awal pagi di masjid-masjid di seluruh negara.
Orang ramai termasuk pelancong tempatan dan asing berkumpul di Masjid Agung Hagia Sophia dan Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, sehingga mencatatkan barisan panjang untuk masuk menunaikan solat.
Selesai solat, ahli keluarga dan rakan-rakan saling bersalaman dan bertukar ucapan sempena perayaan itu.
Umat Islam di luar Turkiye turut menyambut Aidiladha di pelbagai wilayah, dari Asia Barat sehinggalah ke Asia.
Di Azerbaijan, para jemaah berkumpul di masjid-masjid di ibu negara, Baku, untuk mendoakan keamanan serta kemakmuran bagi negara mereka dan dunia Islam amnya.

Rakyat negara itu membanjiri masjid sejak awal pagi dan beratur untuk menunaikan solat Aidiladha.
Kehadiran jemaah yang luar biasa dikesan di masjid-masjid sekitar Baku sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bersolat di pekarangan, taman, dan kawasan sekitar kerana ruang dalam masjid tidak dapat menampung jumlah kehadiran yang terlalu ramai.
Sebilangan besar jemaah turut berkumpul untuk menunaikan solat di Masjid Juma yang ikonik di Bandar Sheki, yang terkenal dengan keindahan sejarah dan alam semula jadinya.
Di negara-negara Asia Tengah termasuk Kazakhstan dan Kyrgyzstan, umat Islam menunaikan solat Aidiladha di masjid-masjid.
Umat Islam dari seluruh pelosok Kazakhstan membanjiri masjid sejak awal pagi untuk menyambut hari yang penuh berkat ini, yang melambangkan perpaduan dan persaudaraan.
Para imam menyampaikan khutbah mengenai makna dan kepentingan Aidiladha, serta sejarah dan hikmah di sebalik ibadah korban. Doa juga dipanjatkan agar negara sentiasa dikurniakan keamanan, keselamatan, dan kemakmuran.

Bagi umat Islam di Kyrgyzstan pula, mereka menunaikan solat Aidiladha di dataran-dataran bandar dan masjid di seluruh negara.
Di ibu negara Bishkek, penduduk membanjiri Dataran Ala-Too dan Dataran Turdakun Usubaliyev yang dikenali sebagai ‘Dataran Lama’ untuk menyertai solat sunat berkenaan.
Jemaah memenuhi kawasan dataran dan jalan-jalan sekitarnya, dengan membentangkan sejadah yang dibawa bersama di atas dataran serta lorong-lorong tepi jalan.
Umat Islam di negara-negara Balkan termasuk Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia, Macedonia Utara, Albania, dan Kosovo, turut menyambut Aidiladha dengan penuh semangat.
Sementara itu, beribu-ribu jemaah Islam berkumpul di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki untuk menunaikan solat Aidiladha, di tengah-tengah kehadiran kawalan ketat polis Israel di sekitar Kota Lama.
“Jumlah jemaah di Masjid Al-Aqsa bagi solat Aidiladha tahun ini dianggarkan mencecah 140,000 jemaah,” menurut Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis.- Bernama-Anadolu