MARUDI: Seekor ular tedung tikus sepanjang 2.5 kaki yang menyelinap masuk ke ruang tamu sebuah kediaman di Kampung Pemindahan berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.10 tengah hari berhubung penemuan reptilia berkenaan.
Beliau berkata, susulan panggilan itu, tiga anggota APM diketuai L/Kpl. (PA) Kamil Tahir bersama dua anggota, L/Kpl. Pbt. (PA) Mohd Zairulasri Johari dan Pbt. (PA) Davney Nelly Ling, digerakkan ke lokasi yang terletak lima kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi.
“Setibanya di lokasi, anggota APM daripada Skuad Bravo dimaklumkan oleh pengadu, Huzaimah Mon, bahawa reptilia berkenaan berada di ruang tamu rumah.
“Anggota kemudian menjalankan operasi mengesan dan menangkap reptilia itu menggunakan teknik menjerut serta peralatan khas,” katanya.
Menurutnya, operasi selesai pada 12.34 tengah hari dan anggota APM kemudiannya kembali ke PKOD Marudi.




