



SARIKEI: Penghuni salah sebuah rumah di Lorong 4, Jalan Pinang Laka terkejut apabila terlihat seekor ular tedung berada di tempat parkir kereta rumahnya, pagi tadi.
Risau dengan keselamatan diri dan keluarganya, penghuni rumah menghubungi pihak bomba untuk bantuan menangkap ular berbisa itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 8.14 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, tiga anggota bomba diketuai oleh ketua operasi, Alffian Sahmat bergegas ke lokasi penemuan ular.
“Setibanya di lokasi, didapati ular tedung masih berada di tempat parkir kereta rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, ular tedung berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut ular.
“Ular dapat ditangkap dalam tempoh lebih kurang tujuh minit.
“Operasi menangkap ular tedung selesai sepenuhnya pada 8.25 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek