
Foto: APM Betong
BETONG: Kehadiran seekor ular sawa batik yang sedang bersiap sedia untuk membaham mangsanya mencetuskan detik cemas buat seorang penduduk di Betong, sebelum tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengawal keadaan.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, kejadian tersebut disedari oleh pemilik premis selepas melihat kelibat reptilia berkenaan berada di dalam reban ayam miliknya.
Bimbang akan keselamatan diri dan ternakan, pengadu segera menghubungi Bilik Gerakan APM Betong untuk mendapatkan bantuan pakar.
Pihak APM Betong mengesahkan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.15 pagi. Susulan laporan tersebut, sebuah jentera bersama empat orang anggota dikerahkan dan bergerak ke lokasi kejadian bagi operasi menangkap reptilia berkenaan.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati seekor ular sawa batik masih berada di dalam reban tersebut.
Reptilia itu dikesan sedang membelit seekor ayam untuk dijadikan mangsa, namun ia tidak sempat menelan ternakan tersebut gara-gara kehadiran pasukan APM yang tiba tepat pada waktunya.

Anggota penyelamat bertindak memulakan operasi dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Ular sawa sepanjang empat kaki itu akhirnya berjaya ditangkap dengan menggunakan teknik menjerut dalam tempoh yang singkat.
Selepas berjaya diamankan, ular tersebut dibawa ke pusat operasi sebelum dirancang untuk dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk. Langkah ini diambil bagi memastikan ekosistem terpelihara tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Kejadian ini turut menjadi peringatan kepada penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling, terutama bagi mereka yang mempunyai kawasan ternakan yang berisiko menjadi tumpuan haiwan pemangsa.
Dalam pada itu, orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau berhadapan situasi serupa diminta menghubungi APM Betong di talian 083-472861 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera daripada pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman