Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • UKM juara Piala Sumbangsih Liga IPT
  • SUKAN

UKM juara Piala Sumbangsih Liga IPT

Utusan Sarawak 22 hours ago
REAKSI kemenangan pasukan UKM menjulang Piala Sumbangsih Liga Bola Sepak IPT 2025 disambut penuh semangat selepas menewaskan lawan menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium UM Arena, hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menamatkan dominasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam saingan Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) apabila muncul juara Piala Sumbangsih 2025 selepas mencatat kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti di sini, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit masa permainan sebenar.

Penjaga gol UKM Muhammad Adam Harris Herman muncul sebagai wira pasukan apabila cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti UiTM, masing-masing diambil oleh Mohammad Arif Imran Abdul Rahman dan Muhammad Hariz Husaini Mohd Harimanto.

Sementara itu, empat sepakan penalti UKM disempurnakan dengan tenang oleh Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan, Haris Zafri Hashim, Vikie Owen Marinus dan Muhammad Akif Ahmad Ariffin untuk memastikan piala sulung musim ini menjadi milik mereka.

Untuk rekod, UiTM sebelum ini mendominasi Piala Sumbangsih dengan menjuarai kejohanan itu setiap musim sejak 2018, kecuali ketika saingan liga tergendala selama hampir dua tahun susulan pandemik COVID-19, sebelum kembali bersambung pada musim 2022/2023.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, jurulatih UKM Mohd Rafiq Roslan menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan terbaik buat pasukannya musim ini.

“Kami tahu UiTM bukan calang-calang pasukan, malah pernah menjuarai piala ini beberapa kali. Tetapi pemain kami menunjukkan karakter yang hebat, bijak mengawal tekanan dan akhirnya berjaya membawa pulang trofi yang amat berharga.

“Ini kemenangan penting yang akan menjadi pembakar semangat untuk mengharungi musim panjang liga nanti,” katanya.

Sementara itu, kapten UKM Muhammad Iman Hakimi Aznan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu permulaan yang cukup manis dalam tahun pertamanya bersama skuad universiti berkenaan.

“UKM dah lama tak menang piala. Saya pun baru tahun satu, tapi Alhamdulillah diberi kekuatan dan kepercayaan untuk bawa pasukan raih kemenangan. Terima kasih kepada rakan sepasukan atas komitmen terbaik,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Meskipun tewas menerusi penentuan penalti, keputusan seri tanpa jaringan membolehkan UiTM dan UKM masing-masing berkongsi satu mata dalam aksi pembukaan Divisyen 1 Liga IPT musim ini.

– Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Tang Jie-Wen Tse sandaran terakhir negara di Taiwan
Next: Piala Dunia Wanita 2031 dan 2035, libatkan 48 pasukan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.