MIRI : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian(JPBB) Miri menasihati orang ramai yang menjalani ujian swab di Pusat Sehenti Swab Covid-19 di Stadium Tertutup Miri supaya tiba mengikut masa dijadualkan bagi mengelak kesesakan.
Menteri Bertanggungjawab bagi JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, pusat sehenti itu mempunyai kapasiti sebanyak 600 ujian swab RT-PCR Covid-19 sehari, selain mengeluarkan Quarantine Order, pemakaian wristband dan seterusnya pengeluaran Quarantine Release Order serta pemotongan wristband.
“Bagi melancarkan operasi di Pusat Sehenti ini, temujanji pengambilan swab secara berjadual telah diaturkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke pusat sehenti berkenaan,semalam.
Semasa lawatan itu, Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan turut mengambil peluang menemuramah mereka yang datang untuk menerima maklumbalas daripada mereka.
“Ramai yang datang untuk menjalani ujian swab Covid-19 pada hari ini (semalam) membawa ahli keluarga, malah ada yang datang dengan berkerusi roda.
“Oleh demikian, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi, orang ramai adalah diingatkan untuk mematuhi masa temujanji pengambilan swab Covid-19 yang telah diberikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri untuk elak kesesakan di samping menunggu lama,” ujarnya.
Mengenai lawatan itu, Lee berkata, ia bertujuan untuk meneliti beberapa perkara untuk penambahbaikan di pusat sehenti berkenaan, selain meninjau keadaan orang ramai yang datang ke pusat itu untuk menjalani ujian swab Covid-19.
Hadir sama, Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr. P Raviwharmman dan Pengawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Afizi Salam.
Terdahulu, Stadium Tertutup Miri (Miri Indoor Stadium) telah dijadikan Pusat Sehenti (One Stop Centre) Covid-19 sejak 2 Ogos 2020 bagi tujuan pengeluaran Quarantine Order, pemakaian wristband, pelaksanaan ujian swab RT-PCR COVID-19 dan seterusnya pengeluaran Quarantine Release Order serta pemotongan gelang.
“Pusat Sehenti ini dikhususkan untuk tiga kategori pengambilan ujian swab iaitu individu yang melalui temujanji dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri iaitu individu yang merupakan kenalan rapat kepada kes positif dan individu yang memerlukan swab pengawasan.
“Kategori yang kedua pula adalah secara ‘walk-in’ iaitu bagi individu yang pernah dalam lokaliti yang dinyatakan terdedah kes positif seperti dalam kenyataan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan individu yang ingin membuat swab test.
“Bagi kategori ketiga adalah untuk individu yang perlu mendapatkan keputusan ujian swab untuk meneruskan perjalanan ke Limbang atau Bintulu,” jelasnya.
Oleh Liong Chai Ling