
SIMANGGANG: Akibat bertindak melulu mengikut emosi dan di bawah pengaruh alkohol, seorang pesara tentera dijatuhi hukuman penjara lima tahun 11 bulan serta satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan memiliki senjata berbahaya.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret, Intan Nurul Farena Zainal Abidin, selepas tertuduh, Gindie Pengarah, 44, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada malam 24 Februari lalu di sebuah kediaman di Jalan Sembauh, di sini.
Pertengkaran tercetus apabila tertuduh yang baru pulang ke rumah selepas keluar sejak petang hari sebelumnya berada dalam keadaan mabuk sebelum bertikai dengan isterinya.
Dalam keadaan marah tidak terkawal, tertuduh bertindak mengejar mangsa sambil mengacukan sebilah parang berukuran sekitar 26 inci serta mengugut untuk membunuhnya.
Mangsa yang ketakutan melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan sebelum pihak polis tiba dan menahan tertuduh di lokasi kejadian.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 11 bulan.
Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, tertuduh dihukum penjara lima tahun serta satu sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chrissie Ngiron Mijun.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Kes ini menjadi peringatan bahawa tindakan mengikut emosi, lebih-lebih lagi di bawah pengaruh alkohol, boleh mengundang padah besar sehingga meragut kebebasan diri sendiri.
Oleh Adi Safarman