SPAOH: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Spaoh merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kerana menyumbangkan pelbagai keperluan untuk sekolah itu.
Guru Besar SK Spaoh, Rabia Andom menzahirkan penghargaan tersebut selepas lawatan yang dilakukan oleh Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban ke SK Spaoh dekat sini semalam.
“Sumbangan yang diumumkan oleh beliau semalam adalah bagi keperluan persiapan pembukaan sekolah tidak lama lagi.
“Sememangnya sekolah ini amat memerlukan peralatan tersebut, dan beliau telah bermurah hati mengumumkan akan menyumbang beberapa kekurangan yang ada, sekali gus berupaya menampung keperluan sekolah ini,” katanya.
Rabia berkata antara keperluan yang akan disumbangkan oleh Uggah adalah alat saringan suhu badan, penyediaan tempat mencuci tangan yang menggunakan sinki keluli atau aluminium dengan air paip, pengimbas suhu serta menyumbangkan sebanyak empat unit komputer meja bagi pejabat guru dan kelas pendidikan khas.
Uggah juga katanya akan memberi peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kelas prasekolah serta bangunan kelas yang lain.
“Saya mewakili warga pendidik dan kakitangan SK Spaoh merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Uggah atas kesudian beliau melakukan lawatan ke sekolah ini.
“Kehadiran beliau semalam membawa ‘buah tangan’ dan berita yang menggembirakan kepada sekolah ini,” ujar beliau.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr Richard Rapu, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Supian Ekeram, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Abang Suhordie Abang Zaini.
Oleh Adi Safarman