
MADINAH: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menziarahi beberapa lokasi bersejarah Islam di sini.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Masjid Quba yang merupakan masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW selepas penghijrahan Baginda ke Madinah.

Rombongan Astana Sarawak turut melawat sebuah ladang kurma bagi meninjau aktiviti penanaman dan pemprosesan kurma yang menjadi antara hasil utama di Madinah.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan seterusnya menziarahi Bukit Uhud, lokasi berlakunya Perang Uhud yang menjadi antara peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Mereka kemudian mengunjungi Masjid Qiblatain yang terkenal sebagai tempat berlakunya peristiwa perubahan arah kiblat umat Islam daripada Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram.

Ziarah tersebut memberi peluang kepada rombongan menghayati sejarah perkembangan Islam serta menjadi pengisian rohani sepanjang berada di Madinah Al-Munawwarah.