
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kunjungan itu menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara Sarawak dan Bangladesh, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan serta pembangunan sumber manusia.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam pelbagai sektor berimpak tinggi, termasuk pertanian berasaskan agro, keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan pengajian tinggi.

Turut dibincangkan ialah usaha memperkasa pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi masa depan.
Menurut perbincangan itu, penguasaan STEM mampu menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi seperti tenaga hidrogen, teknologi hijau, penangkapan karbon dan industri aeroangkasa, selain melahirkan modal insan yang berdaya saing.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan serta meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada Sarawak dan Bangladesh.