
BETONG: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa mengunjungi Pasar Tamu Betong sebelum menikmati sarapan pagi di Gerai Bumiputera Majlis Daerah Betong (MDB), di sini, hari ini.
Ketibaan mereka sekitar 7.00 pagi disambut mesra para peniaga dan pengunjung yang tidak melepaskan peluang beramah mesra serta merakam kenangan bersama pasangan berkenaan.
Sepanjang lawatan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut membeli beberapa barangan jualan peniaga tempatan sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Kehadiran mereka di pasar tamu itu sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap golongan usahawan kecil serta usaha memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Selepas meluangkan masa di pasar tamu, mereka kemudiannya menikmati sarapan pagi di Gerai Bumiputera MDB dalam suasana santai dan penuh kemesraan bersama masyarakat setempat.


Turut mengiringi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta tetamu lain.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di Bahagian Betong.
Tun Wan Junaidi selepas itu dijadual menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan berkenaan yang diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
Oleh Shahrul Qaizat