TYT Sarawak, isteri antara penumpang sulung AirBorneo

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menaiki penerbangan AirBorneo buat kali pertama bagi perjalanan dari Kuching ke Kuala Lumpur.

Keberangkatan pasangan kenamaan itu turut menandakan sokongan terhadap AirBorneo yang dimiliki Sarawak, khususnya dalam usaha memperkukuh perkhidmatan penerbangan serta hubungan udara antara Sarawak dan destinasi lain.

 YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) untuk penerbangan AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto UKAS

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) kira-kira 12.15 tengah hari.

Ketibaan mereka disambut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama isterinya, Datin Amar Baduyah Bujang, turut menaiki penerbangan MY5005 yang sama.

TUN Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ketika tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebelum menaiki penerbangan AirBorneo ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto UKAS

Pesawat berkenaan berlepas dari Kuching pada 1.00 petang dan dijadualkan tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.50 petang.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berlepas ke Kuala Lumpur bagi memenuhi jadual lawatan rasmi.

Turut hadir mengiringi keberangkatan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo, Datuk Philip Ting.