KUCHING: Yang di-Pertua Negeri,Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru rakyat negeri ini agar meningkatkan kesiapsiagaan berikutan musim tengkujuh yang kini melanda, membawa risiko hujan lebat dan banjir, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi supaya sentiasa memantau amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, langkah berjaga-jaga ini penting untuk melindungi keselamatan diri, keluarga, dan harta benda.
Beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap golongan nelayan yang terpaksa berdepan cabaran lebih besar ketika musim tengkujuh.
“Angin kencang dan laut bergelora, menimbulkan risiko yang tinggi terhadap keselamatan nelayan. Oleh itu, saya menasihatkan mereka untuk sentiasa mematuhi nasihat keselamatan daripada pihak berkuasa.
“Sebelum turun ke laut, pastikan semua peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, pelampung, dan peralatan komunikasi berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Keselamatan nyawa mesti diutamakan walaupun laut adalah sumber pendapatan utama,” katanya.
Beliau turut menggesa agar nelayan menangguhkan aktiviti menangkap ikan jika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan memantau laporan cuaca dengan lebih teliti bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Selain itu, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk menyediakan pelan kecemasan di rumah masing-masing, termasuk menyimpan bekalan makanan, ubat-ubatan, dan dokumen penting.
“Keselamatan nyawa adalah keutamaan. Setiap arahan dan amaran pihak berkuasa hendaklah dipatuhi demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Wan Junaidi juga memuji Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan agensi berkaitan atas usaha proaktif mereka dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.
Beliau berharap agar tenaga kerja dan aset logistik ditempatkan di kawasan strategik untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada yang memerlukan.
Penghargaan turut diberikan kepada agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan atas usaha murni mereka membantu komuniti terjejas.
Beliau menyeru semua pihak agar memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi kemudahan mencukupi dan mematuhi standard keselamatan dan kesihatan, termasuk pencegahan penularan penyakit.
Mengakhiri kenyataannya, Wan Junaidi mengajak seluruh rakyat untuk berdoa agar negeri ini dilindungi daripada sebarang bencana besar.
“Semoga kita semua diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi cabaran ini bersama-sama. Dengan kerjasama erat antara semua pihak, saya yakin kita dapat mengharungi musim tengkujuh ini dengan selamat,” katanya.