KUCHING: Kerajaan merancang untuk memperluaskan Stesen TV Sarawak (TVS) kepada platform digital terrestrial television (DTT), kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Ia akan bersiaran menerusi MYTV dan langganan bulanan secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Stesen TV Sarawak (TVS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut dihadiri isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Ketua Menteri berkata, untuk tahun ini TVS bersiaran secara percubaan dengan Astro dan adalah penting untuk TVS bersiaran secara percubaan untuk tempoh tertentu bagi kestabilan tenikal dan perjalanan kerja yang menepati standard industri.
Sementara itu, Abang Johari berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Sarawak berada pada landasan yang tepat dalam usaha mendigitalisasi pelbagai sektor ekonomi.
Oleh itu katanya, semua pihak terutamanya bakat muda di negeri ini harus pandai mengambil peluang daripada penubuhan TVS ini.
Beliau juga berharap, TVS tidak akan terbatas pada program tempatan sahaja tetapi tidak sabar untuk menjadi pemain serantau dan memaparkan pelbagai tempat menarik di seluruh dunia.
“Untuk melakukan ini, golongan yang kreatif mesti melabur dalam pengetahuan baharu dan teknologi canggih.
“Satu-satunya cara untuk kita mencapainya ialah kita mesti bermula dari sekarang. Saya mengajak semua orang kreatif kita untuk mengorak langkah hebat bersama TVS,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari juga berharap TVS akan memainkan peranan penting dalam menggilap bakat yang ada di negeri ini untuk diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Siapa yang tidak kenal dengan Dayang Nurfaezah, Bob, Miss Malaysia World, Dewi Liana dan terbaru Fransisca Luhong, iaitu Miss Universe Malaysia, semuanya Anak Sarawak.
“Saya percaya banyak lagi bakat di luar sana yang belum digilap dan diberi peluang untuk menonjolkan diri,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhayati Mohd Ismail, menteri-menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan dan negeri dan banyak lagi tetamu kehormat yang lain.
Oleh Akmal Adib Yusup