Turunkan hujan: Indonesia manfaatkan pembenihan awan bendung kebakaran akibat El Nino

Facebook
WhatsApp
FOTO yang dirakam pada 2 Ogos 2026 menunjukkan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara memuatkan natrium klorida (NaCl) ke dalam pesawat sebelum misi pembenihan awan di Lapangan Terbang Tjilik Riwut, Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Foto AFP

PALANGKARAYA, Indonesia: Borneo Indonesia, yang menjadi habitat hutan hujan yang masih terpelihara dan pelbagai spesies dilindungi, kini dilanda kebakaran. Ahli meteorologi, Safillah Anggie Wahyuni, berharap penyelesaian dapat ditemukan di awan.

Indonesia percaya pembenihan awan dapat membantu menangani musim kebakaran hutan yang menurut pakar dijangka antara yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun, didorong oleh fenomena El Nino yang kuat.

Kerajaan Indonesia berkata lebih 100,000 hektar kawasan terbakar pada separuh pertama tahun ini.

Analisis bebas oleh laman pemantauan penebangan hutan, Nusantara Atlas, pula menganggarkan keluasan kawasan terbakar sehingga Julai melebihi 285,000 hektar, iaitu lebih empat kali ganda keluasan Jakarta.

FOTO yang dirakam pada 6 Ogos 2026 menunjukkan I Putu Santikayasa, pensyarah hidrokimatologi di Universiti IPB, menerangkan kesan El Nino di Indonesia, di Bogor, Jawa Barat. Foto AFP

Pembenihan awan, yang melibatkan penyebaran iodida perak, garam atau zarah lain ke dalam awan bagi mencetuskan hujan, jarang digunakan untuk menangani kebakaran hutan di seluruh dunia.

Namun, Indonesia meningkatkan usaha berkenaan selepas terkesan dengan kebakaran pada 2015 ketika fenomena El Nino kuat sebelum ini yang memusnahkan jutaan hektar kawasan dan mencetuskan krisis jerebu serantau.

“Pengubahsuaian cuaca tidak menghasilkan awan, sebaliknya kami mengoptimumkan awan yang berpotensi menghasilkan hujan,” kata Safillah kepada AFP selepas melakukan penerbangan di ruang udara Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

“Pengubahsuaian cuaca hanya berkesan jika keadaannya sesuai,” tambahnya.

Menurut agensi cuaca BMKG, Indonesia menjalankan 252 operasi pembenihan awan antara 2021 hingga Ogos tahun ini, berbanding 85 operasi sepanjang dekad sebelumnya.

FOTO yang dirakam pada 2 Ogos 2026 menunjukkan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara memuatkan natrium klorida (NaCl) ke dalam pesawat sebelum misi pembenihan awan di Lapangan Terbang Tjilik Riwut, Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Foto AFP

Kebanyakan operasi bertujuan mengalihkan hujan dari kawasan yang dilanda banjir, namun sebahagiannya dilakukan bagi memadam kebakaran hutan atau membasahkan kawasan gambut yang mudah terbakar.

Dalam tempoh hanya tiga tahun sejak operasi pembenihan awan pertamanya, Safillah, 25, telah mengumpulkan lebih 300 jam penerbangan.

Teknik itu pertama kali digunakan di Indonesia pada 1977 bagi menambah bekalan air sebuah empangan.

Kerajaan turut berkata puluhan helikopter dan pesawat sayap tetap bersedia untuk menjalankan pembenihan awan di seluruh negara.

“Kami sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, walaupun perubahan sekecil-kecilnya yang berpotensi menghasilkan awan hujan,” kata Menteri Keselamatan, Djamari Chaniago.

Tiada Awan

Namun, sebahagian besar usaha memadam kebakaran di negara itu masih dilakukan di darat, dengan hampir 50,000 anggota bomba kini dikerahkan.

Pakar bagaimanapun mempersoalkan penggunaan teknik berkenaan ketika musim kering, iaitu ketika kebakaran hutan memuncak.

“Keberkesanannya sangat rendah kerana kekurangan awan,” kata pensyarah hidrokimatologi di Universiti IPB di selatan Jakarta, I Putu Santikayasa.

Kajian menunjukkan keberkesanan pembenihan awan sukar dinilai.

Teknik itu juga menimbulkan persoalan mengenai kesan penggunaan iodida perak secara meluas, selain kos yang terlibat.

Pembenihan awan ialah “usaha mitigasi, bukan penyelesaian kekal”, kata Pengarah Pengubahsuaian Cuaca BMKG, Budi Harsoyo, sambil menegaskan tiada bukti mengenai kesan buruknya.

Kajian yang dikarangnya mendapati operasi pembenihan awan selama 12 hari pada 2023 menggandakan jumlah hujan yang berkemungkinan turun dan menghapuskan titik panas kebakaran.

Aktivis berkata usaha mitigasi seperti pembenihan awan mengabaikan masalah asas, termasuk penukaran hutan hujan dan kawasan gambut secara besar-besaran.

Indonesia mempunyai kawasan tanah gambut tropika yang luas.

Tanah gambut merupakan penyimpan karbon penting ketika basah, tetapi menjadi sangat mudah terbakar apabila kering. Kebakaran juga boleh membara di bawah tanah dan kembali merebak dengan cepat.

Ekosistem yang terdedah itu perlu dilindungi daripada pembangunan, kata Uli Arta Siagian, penyelaras kempen kumpulan alam sekitar tempatan WALHI.

“Tanggungjawab untuk melindunginya terletak pada negara dengan tidak mengeluarkan permit di kawasan yang mudah terbakar,” katanya kepada AFP.

Jerebu Serantau

Indonesia kerap berdepan kebakaran besar yang menghasilkan jerebu tebal hingga menjejaskan negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, jerebu akibat kebakaran meningkatkan tahap pencemaran udara di bahagian Borneo, Malaysia, sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup.

Selain pembenihan awan, Indonesia turut melaksanakan usaha membasahkan semula kawasan gambut serta memantau titik panas kebakaran menggunakan satelit dan rondaan di darat.

Ladang berskala besar dilarang menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan tanah, walaupun pengecualian diberikan kepada pekebun kecil.

Namun, amalan itu masih berleluasa dan dipersalahkan sebagai punca kebanyakan kebakaran hutan di Indonesia.

Menteri Alam Sekitar mengarahkan kerajaan tempatan di kawasan berisiko meningkatkan rondaan pencegahan serta menggalakkan penguatkuasaan “hukuman undang-undang”, termasuk denda dan “hukuman jenayah” terhadap pembakaran secara haram.

Kebakaran tahun ini akan menjadi lebih buruk akibat El Nino yang kuat, iaitu fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan pada corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.

Fenomena itu lazimnya menyebabkan keadaan lebih kering di Indonesia dan dikaitkan dengan kebakaran besar.

Keluasan kawasan yang terbakar pada separuh pertama tahun ini sahaja sudah melebihi kawasan yang musnah sepanjang 2023, iaitu kali terakhir El Nino berlaku.

Kumpulan aktivis 350.org memberi amaran minggu ini bahawa perubahan iklim memburukkan keadaan berkenaan.

“El Nino muncul ketika suhu asas global sudah lebih tinggi, sekali gus mencetuskan cuaca yang lebih ekstrem.”

Gempa bumi sederhana di Laut Bali Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 dikesan berlaku di Laut Bali, Indonesia pada 2.10 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran