DALAM kolum ini yang disiarkan 9 November lalu, penulis membangkitkan isu buaya dengan tajuk ‘Apa perlu ‘lindungi’ buaya banyak-banyak?. Ini berikutan saban tahun, ada sahaja mangsa buaya hingga mencetuskan konflik antara buaya dengan manusia yang semakin meningkat. Terbaharu, remaja berusia 15 tahun menjadi mangsa reptila ganas itu ketika menjala udang bersama rakannya di sungai Bandar Baru Samariang.
Kali ini penulis memilih tajuk ‘Tunggu berapa ramai lagi jadi mangsa buaya?’. Bukan untuk menyalahkan agensi kerajaan tetapi untuk kita sama-sama berfikir apa tindakan konkrit, perlu diambil dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang kerana isu ini membabitkan nyawa manusia.
Bila isu Covid-19 menjalar, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani wabak itu dikeluarkan, dikuatkuasakan dan yang melanggarnya boleh dikenakan tindakan semasa pandemik, kerana ia membabitkan nyawa manusia. Untuk buaya, kita mahu lihat tindakan yang tuntas, bukan semata-mata operasi memburu reptila ganas itu setelah ada nyawa melayang di lokasi tertentu.
Mengikut angka rasmi yang diberitahu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Sarawak kini mempunyai sekitar 25,000 ekor buaya berbanding 13,500 ekor pada 2014. Antara kawasan tumpuan bagi buaya ini adalah di Sungai Bako, Batang Lupar, Batang Sadong dan juga di Sibuti, berdasarkan bancian pemantauan.
Kita tidak pasti angka sebenar buaya di dasar sungai meskipun ada bancian menggunakan teknik tertentu. Ada laporan sebelum ini menyebut populasi buaya dianggarkan melebihi 50,000 ekor di sepanjang 45 batang sungai di Sarawak. Sebelum ini, ada juga laporan menyebut berdasarkan survei yang dilakukan terdapat lapan hingga 12 ekor buaya dalam setiap kilometer di beberapa sungai. Ini membawa maksud anggaran populasi buaya di negeri ini ialah sekitar 180,000 ekor. Harap angka ini tidak betul.
Angka rasmi sekitar 25,000 ekor buaya sekarang pun agak menakutkan.
Berdasarkan laporan kejadian manusia dibaham buaya atau kes ‘menjelma sang bedal’, ia kini bagaikan muncul di merata tempat terutama di kawasan yang tidak pernah wujud buaya lebih 10 tahun lalu.
Ini mungkin juga disebabkan kurang gangguan di sungai dengan kocakan bot laju atau bot ekpres berikutan jalan raya semakin banyak wujud terutama Lebuh Raya Pan Borneo serta jalan pesisir.
Tetapi menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara ‘real time’ atau data masa nyata yang dibangunkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dijangka dilancarkan tahun depan.
Mahu contohi Afrika, Australia
Menerusi aplikasi itu, katanya, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan dan kawasan panas konflik manusia dan buaya dapat dikenal pasti.
Selain itu kata beliau, kementeriannya bercadang untuk mengadakan lawatan ke Afrika Selatan serta Australia bagi mempelajari cara menangani masalah populasi buaya yang tinggi.
“Sebagai contoh, kita mahu belajar dari Kruger National Park di Afrika Selatan dalam menangani buaya manakala di Australia mereka telah mengeluarkan produk-produk berasaskan kulit buaya seperti tali pinggang, kasut dan beg,” katanya pada sidang media ketika sidang DUN November lalu.
Diharapkan perancangan itu dapat dipercepatkan kerana kita semua khuatir antara sekarang hingga segala perancangan itu selesai untuk dilaksana serta dikuatkuasa, akan ada lagi mangsa disambar buaya.
“Kita tak pasti berapa lama lagi semua perancangan itu boleh dilaksana. Lawatan ke Afrika dan Australia, kemudian buat kertas kerja, kemudian bentang di peringkat kementerian, disusuli Kabinet dan DUN, kemudian diwarta untuk dikuatkuasa…. untuk berapa lama lagi?” kata seorang pemerhati.
Sambungnya lagi…. “Mengapa tidak dihadkan jumlah buaya, contoh sekitar 1,000 ekor sahaja tetapi dilindungi sepenuhnya di kawasan khas hidupan liar? Buru semua yang ada di sungai-sungai, jual untuk tujuan komersial, jadikan Sarawak terkenal dengan industri hiliran berasaskan produk kulit buaya daripada kasut, tali pinggang, dompet, beg tangan dan sebagainya.”
Kemudian, pengusaha industri ini, bolehlah beli daripada mana-mana orang kampung yang berjaya membunuh atau menangkap buaya. Biarlah buaya itu pula beri hasil lumayan kepada penduduk di pesisiran sungai. Atau sesiapa yang ingin memburu buaya, dapatkan lesen dari SFC. Dengan cara ini mungkin mampu mengurangkan jumlah populasi buaya.
Lindungi buaya untuk tontonan generasi akan datang? Sanggupkah anak cucu, cicit tengok buaya yang pernah membaham datuk nenek mereka? Biarlah ‘simpan’ buaya pada jumlah kecil bagi mengelak kepupusan, di kawasan khas.
Berdasarkan statistik yang diberi oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman, dalam tahun ini tiga mangsa dibaham buaya termasuk kes Sabtu lalu di Samariang. Dua lagi kejadian berlaku di Oya, Dalat dan Skrang di Betong.
Tiada panduan
Menurutnya, dalam tempoh 2018 hingga tahun ini, seramai 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak. Jumlah tertinggi direkodkan pada 2021 apabila seramai sembilan mangsa disambar buaya, diikuti 2020 seramai lapan orang, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1).
Ahli Zoologi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Abdul Hamid Ahmad berkata langkah pihak berkuasa menembak buaya dilihat tidak menjejaskan populasi haiwan itu kerana ia adalah langkah kawalan untuk melupuskan buaya bersaiz besar yang berada di kawasan berpenduduk kerana semakin besar saiz buaya maka semakin besar mangsa yang akan ditangkap.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai buaya biasanya boleh mengetahui kehadiran reptilia besar itu dan mereka tahu bagaimana mengelak daripada diserang, namun kelalaian ataupun kekurangan kemudahan serta peralatan keselamatan menjadi punca kepada risiko serangan buaya.
“Tiada panduan khusus mengelak serangan buaya selain berhati-hati dan menggunakan alat atau struktur boleh melindungi diri seperti membina jeti dan berperahu,” katanya dipetik oleh Bernama baru-baru ini, berdasarkan kajian kes serangan buaya menunjukkan sering terjadi ketika mangsa berada dalam air atau di pinggir air, juga awal pagi atau senja.
Pada masa ini, katanya, buaya air masin ialah spesies dilindungi di Sabah dan pada 2016, Malaysia memindahkan status buaya itu daripada Lampiran I kepada II, dengan pemburuan liar dihadkan kepada Sarawak dan kuota sifar untuk spesimen liar bagi negeri lain di Malaysia termasuk Sabah.
Sementara itu, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Prof Benoit Goossens berkata kuota harus dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengelak kepupusan populasi buaya jika lesen memburu buaya diberikan kepada orang ramai atas faktor keselamatan.
Beliau berkata melupuskan atau membunuh buaya besar, kebanyakannya jantan di sungai-sungai berikutan konflik manusia-buaya, berpotensi mewujudkan lompang kuasa iaitu buaya jantan lain datang ke situ untuk tujuan penggantian.
“Saya percaya haiwan reptilia itu boleh dilupuskan yang mendatangkan bahaya kepada orang ramai, di bawah kawalan ketat untuk mengelak peningkatan pemburuan ke atas buaya termasuk buaya muda.
“Walaupun Australia mempunyai populasi buaya terbesar, jumlah serangan sangat terhad berbanding Indonesia dan Malaysia. Ini disebabkan kempen kesedaran dan pendidikan awam yang sesuai,” katanya sambil menambah papan tanda perlu dipasang di kawasan reptilia itu menghuni.
Kita harap konflik antara buaya dan manusia ini berakhir.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak