
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, menzahirkan rasa amat dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam insiden nahas bas di Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Tragedi hitam telah meragut 15 nyawa pelajar muda negara dan merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada sektor pendidikan tinggi negara.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan semoga mereka ditempatkan dalam kalangan para solihin dan syuhada dan ahli keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
Selain itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah juga mendoakan kepada pelajar yang cedera agar mereka segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, pengurusan UPSI, pasukan penyelamat, serta semua agensi yang bertungkus-lumus dalam menyalurkan bantuan menyeluruh kepada semua mangsa dan keluarga, memberikan bantuan segera, termasuk dari aspek perubatan, psikososial dan kebajikan.
Beliau menggesa agar semua pihak berkaitan mengambil iktibar daripada tragedi ini dan terus menitikberatkan aspek keselamatan dalam sebarang aktiviti yang melibatkan pelajar serta institusi pengajian tinggi.