
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mendiang James Ritchie yang meninggal dunia, pagi tadi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Astana Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi menyifatkan mendiang sebagai seorang sahabat karib serta penulis dan wartawan veteran yang banyak berjasa kepada dunia kewartawanan tanah air.
“Kami amat sedih dengan pemergian beliau yang tidak diduga ini. Beliau seorang insan yang baik dan saya akan sentiasa menghargai kenangan bersama beliau, anak kepada Pesuruhjaya saya, rakan dan penulis bersama dalam beberapa buah buku,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa beliau telah mengenali mendiang sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah St Thomas, Kuching dan pernah berkhidmat sebagai Aide De Camp (ADC) kepada ayah mendiang, Dato Sri John Ritchie, yang merupakan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 1968.
“Namun, saya tidak pernah dilayan seperti pegawai dalam pasukan, sebaliknya seperti anggota keluarga sendiri. Persahabatan kami berterusan sehingga ke hari ini,” tambah beliau.
Menurut Tun Wan Junaidi, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dengan mendiang pada Isnin, 5 Mei 2025 bagi membincangkan perkembangan buku yang sedang ditulis mengenai dirinya, namun Tuhan lebih menyayanginya.
“Kami mendoakan agar keluarga beliau dikelilingi kasih sayang dan sokongan dalam menghadapi saat yang sukar ini serta agar kenangan indah bersama insan tersayang memberi kekuatan dan ketenangan,” katanya lagi.
Oleh Amanda L.