
SEPANG: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di tanah air hari ini selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bersama rombongan tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.00 petang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi.
Ketibaan mereka disambut oleh Pegawai Perhubungan Sarawak di Kuala Lumpur, Awang Supian Awang Daud serta pegawai daripada Pejabat Yang di-Pertua Negeri dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur.
Sejurus tiba, satu majlis ringkas diadakan dengan bacaan doa yang dipimpin Pegawai Agama dan Penyelidikan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Syed Mohd Rusydi Wan Yusup sebagai tanda kesyukuran atas kepulangan selamat rombongan serta kelancaran ibadah haji yang disempurnakan.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu melancarkan urusan ibadah haji rombongan sepanjang berada di Arab Saudi.
Penghargaan tersebut ditujukan antaranya kepada Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji Malaysia, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, petugas Tabung Haji, pasukan perubatan, pasukan keselamatan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.