
PETRA JAYA: Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di Astana Negeri.
Rombongan tersebut diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026.
Kehadiran delegasi ini bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah untuk menghadiri majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung pada 21 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Dalam sesi tersebut, jawatankuasa turut memberi taklimat terperinci mengenai atur cara dan pengisian sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang mengangkat tema ‘Segulai Sejalai’, termasuk perancangan bagi majlis Makan Malam Gawai Dayak sebagai acara kemuncak sambutan.
Menurut Uggah, penganjuran Gawai Dayak peringkat negeri bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan identiti dan kekayaan budaya masyarakat Dayak, malah berperanan besar dalam memperkukuh hubungan antara pelbagai kaum dan komuniti di Sarawak.
”Tema ‘Segulai Sejalai’ memperlihatkan semangat kebersamaan yang telah menjadi kekuatan rakyat Sarawak sejak sekian lama.
“Melalui penganjuran ini juga, ruang yang lebih luas dapat diberikan untuk terus memelihara serta memperkenalkan warisan budaya dan adat resam masyarakat Dayak kepada generasi akan datang,” katanya.
Menyentuh tentang pengisian malam kemuncak tersebut, Uggah berkata majlis akan diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan acara simbolik yang mencerminkan kekayaan warisan masyarakat Dayak, termasuklah upacara Bebiau Pengabang dan Gawai Toast.
“Para tetamu bakal disajikan dengan pementasan teater muzikal eksklusif bertajuk ‘From Ruai to the World’ oleh Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) yang mengetengahkan perjalanan masyarakat Dayak daripada tradisi pertanian kepada pencapaian serta penglibatan aktif dalam pelbagai bidang di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” jelasnya.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen serta usaha gigih yang dilaksanakan bagi memastikan sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 terus menjadi platform penting untuk memupuk perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Turut menyertai rombongan tersebut ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Selain itu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Dr Penguang Manggil.
Oleh Adi Safarman