
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan pertemuan rutin yang diadakan bagi memberi taklimat serta mendapatkan pandangan Tun Wan Junaidi mengenai kertas-kertas kerja dan agenda utama yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam itu, perbincangan turut merangkumi perkembangan terkini pelaksanaan dasar-dasar kerajaan serta isu-isu semasa negeri.
Suasana pertemuan yang berlangsung dalam keadaan mesra dan penuh harmoni itu mencerminkan hubungan kerjasama yang erat serta sinergi yang kukuh antara institusi Yang di-Pertua Negeri dan barisan kepimpinan eksekutif Sarawak.