KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, selamat tiba di Hangar, Hornbill Skyways di sini 11.25 malam tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan isteri, selepas menghadiri Grand Chinese New Year Celebration Banquet Dinner 2025 yang berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri, 8.00 malam tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan isteri diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang bertindak sebagai Menteri Pengiring Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dan isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.
Turut hadir menyambut ketibaan pulang di Hangar Hornbill Skyways ialah pegawai-pegawai Astana Negeri Sarawak.
Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan Dato Sri Dr. Lee Kim Shin, dan isteri Datin Sri Kong Shu Ling, Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Dato David Goh Kien Ping, dan isteri Datin Ting Lee Hong.
Turut serta, Menteri Wanita, Keluarga, Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, dan Timbalan Presiden Persatuan Datuk Nguang Hing Teck.
Seramai 76 wakil persatuan-persatuan Cina bersekutu dari seluruh Bahagian Miri turut hadir memeriahkan majlis ini.
Sebagai simbolik kepada kesejahteraan dan perpaduan, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi telah dijemput untuk melaksanakan acara melambung Yee Sang bersama tetamu kehormat, dan hadirin yang lain.
TYT Tun Pehin Sri menzahirkan penghargaan terhadap nilai kebersamaan yang ditonjolkan melalui sambutan ini, yang mencerminkan keharmonian, dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau turut berharap agar keharmonian dan perpaduan ini terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri dan negara.