
LIMBANG: Majlis Doa Kesyukuran bersempena Perayaan Rasmi Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 2025 berlangsung penuh bermakna apabila dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar malam tadi.
Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir pada 6.20 petang di Masjid Jannatul Firdaus yang menjadi kemuncak pada majlis berkenaan.
Majlis dimulakan dengan laungan azan serta solat fardu Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Turut diadakan alunan zikir marhaban oleh gabungan kumpulan zikir Bahagian Limbang yang juga mengimarahkan suasana tersebut.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dr Abdul Rahman Ismail serta tetamu kehormat yang lain dan masyarakat sekitar Limbang.
Lebih 1,000 masyarakat Islam menghadiri majlis itu seawal 5.30 petang.
Oleh Adeng Edrus