KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, hari ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1, di sini, pada 6.07 petang.
Van jenazah yang membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada 5.16 petang.
Pengebumian Daim, 86, yang berlangsung dalam keadaan cuaca redup selepas hujan itu turut dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan.
Terdahulu Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi setelah dua minggu menerima rawatan, dibawa pulang ke kediamannya di Persiaran Bukit Tunku, di sini pada 11.30 pagi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Wilayah, Jalan Duta selepas solat Asar untuk sekali lagi disolatkan, dengan solat jenazah diimamkan oleh Imam Besar Masjid Wilayah Jamal Abdul Halim.
Antara pemimpin yang hadir di kediaman Allahyarham bagi memberi penghormatan terakhir adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.
Pemimpin pembangkang yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, dan arwah memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Daim kembali menjadi Menteri Kewangan untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, juga di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu-isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.- Bernama.