Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tun Abdullah selamat disemadikan mengikut istiadat pengebumian negara di Makam Pahlawan
  • NASIONAL

Tun Abdullah selamat disemadikan mengikut istiadat pengebumian negara di Makam Pahlawan

Utusan Sarawak 1 month ago
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5, di ruang solat utama Masjid Negara hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suasana pilu menyelubungi Istiadat Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini di Makam Pahlawan di Masjid Negara di sini pada sekitar 2.30 petang.

Cuaca redup berlatarkan kibaran Jalur Gemilang separuh tiang di sekitar bangunan berhampiran Masjid Negara hari ini mengiringi perjalanan terakhir Tun Abdullah, yang disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 7.10 malam semalam pada usia 85 tahun.

Jenazah Tun Abdullah dibawa pulang ke kediaman beliau di Bait Badawi di Persiaran Tuanku Jaafar di sini malam tadi sebelum dibawa ke Masjid Negara pada 8.15 pagi bagi urusan pengebumian.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada istiadat pengebumian negara di Makam Pahlawan hari ini. Foto BERNAMA

Seawal 10.00 pagi, ribuan rakyat tanpa mengira kaum serta usia termasuk pemimpin tertinggi dari dalam dan luar negara hadir memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah, negarawan ulung yang juga terkenal dengan gelaran Mr Nice Guy.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin antara yang berkenan berangkat hadir bagi memberi penghormatan kepada Tun Abdullah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, empat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta bekas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut hadir di Masjid Negara untuk memberi penghormatan terakhir.

ISTERI kepada Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Jeanne Abdullah, hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, hari ini. Foto BERNAMA

Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya Nori bersama suami bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin antara ahli keluarga yang berada di samping jenazah Tun Abdullah sepanjang upacara penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama Masjid Negara itu.

Anwar bersama-sama ribuan umat Islam kemudian memenuhi segenap ruang dewan solat utama itu untuk menyertai solat jenazah yang dilaksanakan selepas solat zuhur dengan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Usai solat jenazah, keranda membawa jenazah Tun Abdullah yang dilitupi dengan Jalur Gemilang diusung keluar ke Makam Pahlawan oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, antara simbolik kepada penghormatan Istiadat Pengebumian Negara yang diberikan kepada Allahyarham.

Ehsan turut menyempurnakan bacaan talkin pada istiadat itu usai jenazah Tun Abdullah disemadikan.

Tun Abdullah merupakan pemimpin kelima dikebumikan di Makam Pahlawan selepas Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn selain dua bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Tun Abdullah pemimpin mesra, amalkan pendekatan tidak agresif – Syed Hamid
Next: Malaysia, Korea Selatan di landasan tepat meterai kerjasama infrastruktur 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.