
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban selepas sebuah beca pengangkut barang terjunam ke dalam sebuah gaung di wilayah Kashmir di bawah pentadbiran Pakistan, menurut pegawai pada Jumaat, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku pada petang Khamis di kawasan Khurshidabad dalam Daerah Haveli Kahuta apabila kenderaan yang membawa pelancong pulang daripada aktiviti rekreasi itu terbabas dari jalan lalu terjatuh ke dalam sebuah gaung yang dalam di Mana Mor, kata pegawai penyelamat.
Dua orang, termasuk pemandu kenderaan itu maut di tempat kejadian, manakala lima penumpang yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Ibu Pejabat Daerah di Haveli Kahuta untuk rawatan kecemasan, menurut pegawai itu lagi.
Disebabkan kecederaan parah yang dialami, mangsa-mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital Institut Sains Perubatan Pakistan di Islamabad, sebelum mereka disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan, menurut pihak berkuasa hospital.
Pasukan penyelamat dan pegawai pentadbiran tempatan melancarkan operasi serta-merta selepas kemalangan itu bagi mengeluarkan mangsa serta memberikan bantuan perubatan.
Pihak polis telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. – Bernama