SARATOK: Pada zaman yang semakin mencabar ini, tugas seorang guru tidak terbatas kepada menyampaikan pelajaran sahaja, tetapi juga membentuk karakter, membantu murid memahami erti sebenar kehidupan, serta mendidik murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, peranan pendidikan hari ini telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya dan jauh lebih mencabar dan pendidikan pada abad ke-21 ini penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramal dan sentiasa terdedah kepada penambah baikan.
Katanya, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan.
“Oleh itu para guru harus melihat kepada pelbagai aspek pembelajaran terkini selain memberi tumpuan kepada peperiksaan atau latihan.
“Guru mempunyai tanggungjawab dan tugas yang berat dalam mendidik generasi muda kita. Pendidikan sekarang perlu seiring dengan kemajuan lebih-lebih lagi keutamaan kita menumpukan kepada teknologi dan sains masa kini.
“Malah para guru juga perlu sentiasa bersedia dengan perkembangan terkini dalam membantu generasi muda untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini semalam.
Majlis APC 2023 itu telah melibatkan sebanyak 59 buah sekolah di seluruh daerah Saratok dan Kabong dan turut dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor.
Sehubungan itu, Mohamad Duri turut mendoakan warga pendidik di negara ini agar sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.
“Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negeri ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” ujarnya.
Mohamad Duri berkata beliau akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok bagi memastikan kemudahan prasarana sekolah-sekolah terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka berada pada tahap yang lebih baik dan mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pelajar dan warga pendidik.
Oleh Adi Saparman