KUCHING: Masyarakat Melayu-Islam dicadangkan agar menubuhkan badan amanah bagi memastikan harta warisan tidak terlepas kepada pihak lain selepas proses faraid.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, harta peninggalan pemilik Melayu-Islam perlu dibahagikan mengikut hukum syariah kepada waris.
Katanya, proses ini sering menghadapi cabaran, terutama apabila harta seperti tanah atau bangunan komersial terpaksa dijual bagi membahagikan hasilnya.
“Contohnya, di kawasan bandar seperti Satok, jika pemilik meninggal dunia, kedai yang dimiliki mungkin dijual kepada sesiapa sahaja yang mampu membeli.
“Namun begitu, ramai dalam kalangan Melayu tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli kembali aset ini, menyebabkan harta tersebut jatuh ke tangan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Abang Johari berkata penubuhan badan amanah ini akan bertindak sebagai pembeli bagi aset yang dijual akibat pembahagian faraid, memastikan harta tersebut kekal diuruskan oleh masyarakat Melayu sendiri.
“Saya berikan contoh Arif Hotel. Apabila keluarga pemiliknya perlu membahagikan harta, badan amanah Satok (Permodalan Satok Berhad) menggunakan dana untuk membeli hotel ini.
“Maka, ia kekal di bawah pengurusan masyarakat setempat tanpa terlepas kepada pihak luar,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menjelaskan bahawa pendekatan ini memerlukan pengorbanan dan sokongan daripada masyarakat Melayu sendiri, terutamanya melalui pelaburan dalam badan amanah sebagai pemegang saham.
Pada masa sama, beliau juga mencadangkan agar masyarakat Melayu mengambil pendekatan strategik dengan bekerjasama bersama masyarakat bukan Melayu tanpa menjual keseluruhan harta.
“Jangan jual 100 peratus. Sebaliknya, ambil bahagian sebagai rakan ekuiti. Ini memastikan masyarakat Melayu masih mempunyai pegangan dan hak dalam aset tersebut,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak telah menemui formula yang sesuai untuk menangani isu ini, berbanding cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia.
“Kita telah belajar daripada situasi seperti di Kampung Melayu di Kuala Lumpur, di mana pembangunan menyebabkan banyak kawasan tradisional hilang.
“Di Sarawak, kita berusaha memastikan perkara ini tidak berlaku melalui badan amanah dan penglibatan aktif masyarakat dalam pembangunan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal