Tuai Rumah jambatan utama kerajaan dan masyarakat rumah panjang

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi semasa merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Juban Sebeliau Atas, Engkilili, semalam. Foto: Roy Angau Gingkoi

ENGKILILI: Tuai Rumah merupakan pemimpin akar umbi yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di rumah panjang dalam memastikan setiap dasar dan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, selain memelihara perpaduan, keharmonian dan kebajikan komuniti, Tuai Rumah turut berperanan menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada penduduk.

Menurut beliau, golongan itu juga bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan program pembangunan di peringkat komuniti serta menjadi saluran utama untuk menyuarakan keperluan dan permasalahan penduduk kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Juban Sebeliau Atas, Engkilili, semalam.

Katanya, program seumpama itu menjadi wadah penting bagi memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat melalui pertemuan secara bersemuka bagi mendengar sendiri pandangan, cadangan serta keperluan masyarakat setempat.

Roy berkata, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai isu yang dihadapi penduduk sekali gus membantu memastikan pelaksanaan pembangunan dilakukan secara menyeluruh, terancang dan menepati keperluan komuniti.

Sebagai bukti komitmen berterusan terhadap pembangunan luar bandar, beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Juban Sebeliau Atas.

Selain itu, Biro Wanita rumah panjang tersebut turut menerima peruntukan sebanyak RM8,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan komuniti.

Dalam masa sama, Roy turut meluluskan peruntukan RM150,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kemudahan di Rumah Juban Sebeliau Atas demi keselesaan dan manfaat penduduk.

Beliau berharap semua peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara berhemah bagi memperkukuhkan pembangunan komuniti, meningkatkan kesejahteraan penduduk serta mengeratkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat rumah panjang.

Roy turut merakamkan penghargaan kepada JKKK, Biro Wanita, ketua-ketua masyarakat serta seluruh penduduk Rumah Juban Sebeliau Atas atas sambutan mesra dan kerjasama yang diberikan sepanjang penganjuran Program Pemimpin Bersama Rakyat.

Oleh Adi Safarman