
Donald Trump. Foto AFP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberitahu beliau menerima sambutan yang baik terhadap cadangannya untuk menamatkan perang di Gaza.
Trump, berkata beliau juga optimis akan mendapatkan sokongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam pertemuan, hari ini.
Trump berkata, utusan khas AS, Steve Witkoff, bersama menantunya Jared Kushner sedang mengadakan rundingan dengan Netanyahu di New York menjelang pertemuan di Rumah Putih, hari ini.
Kushner sebelum ini pernah menjadi utusan Asia Barat ketika Trump memerintah pada penggal pertamanya.
“Semua orang mahu perjanjian ini. Kita mendapat sambutan yang sangat baik kerana Bibi juga mahu membuat perjanjian,” katanya dalam satu temu bual telefon, merujuk kepada nama panggilan Netanyahu.
Minggu lalu, AS mengumumkan pelan damai Asia Barat yang mengandungi 21 perkara untuk menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza antara Israel dan Hamas.
Menurut seorang pegawai Rumah Putih, pelan itu menyeru supaya semua tebusan hidup atau mati dikembalikan, tiada lagi serangan Israel terhadap Qatar serta wujud dialog baharu antara Israel dan Palestin bagi mewujudkan kewujudan aman bersama.
Bagaimanapun, seorang wakil Hamas berkata pihaknya tidak pernah melihat pelan AS yang dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Semalam, Trump memberi penghargaan kepada pemimpin Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Jordan, antara lain, kerana membantu dalam proses berkenaan.
Beliau berkata, perjanjian itu bukan sahaja akan menamatkan konflik Gaza tetapi turut membuka jalan ke arah keamanan lebih meluas di Asia Barat.
“Semua pihak terbabit. Semua orang mahukan ini, Hamas juga mahukan dan salah satu sebabnya kerana semua orang sudah penat dengan perang,” katanya.
Trump tidak memberi butiran khusus mengenai kemungkinan perjanjian gencatan senjata untuk tebusan di Gaza.
Bagaimanapun; Naib Presiden, JD Vance, berkata pegawai kanan AS kini terbabit dalam rundingan rumit dengan pemimpin Israel dan Arab.
Netanyahu, dalam temu bual bersama saluran Fox News Channel menerusi program The Sunday Briefing, berkata adalah mungkin untuk memberi pengampunan kepada pemimpin Hamas di bawah terma perjanjian itu.
“Perinciannya perlu dimuktamadkan. Tetapi dalam kenyataan sebelum ini, saya katakan bahawa sekiranya pemimpin Hamas, contohnya, diiring keluar dari negara ini, jika mereka tamatkan perang, bebaskan semua tebusan, kami akan benarkan mereka keluar,” katanya.
Vance pula menyifatkan dirinya berhati-hati tetapi berharap mengenai kemungkinan mencapai perjanjian itu.
“Saya rasa lebih optimis dengan keadaan sekarang berbanding beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi kita perlu realistik, perkara seperti ini boleh tergendala pada saat akhir,” katanya.
Beliau berkata, pelan itu mempunyai tiga komponen utama: pemulangan semua tebusan, menamatkan ancaman Hamas terhadap Israel, dan meningkatkan bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Jadi saya fikir kita hampir mencapai ketiga-tiga matlamat itu,” kata Vance. – AFP