KUALA LUMPUR: Anak syarikat SOCAR Mobility Malaysia – TREVO, unit perkongsian kereta individu-ke-individu (P2P) berasaskan aplikasi, menerima sepenuhnya wawasan Dasar Pengangkutan Negara 2019 hingga 2030 untuk meningkatkan penglibatan orang ramai dan pihak berkepentingan dalam pembangunan inisiatif pengangkutan,
Platform perkongsian kereta itu merupakan syarikat pertama yang telah menyahut seruan Kementerian Pengangkutan untuk penyedia perkhidmatan mobiliti mengemukakan kajian pembuktian konsep (POC), dan telah memulakan kajian POC pelbagai fasa bermula Ogos 2020 hingga Ogos 2021.
Ia bertujuan membuktikan kelestarian perkongsian kereta P2P di Malaysia dan menjadikannya lebih berdaya maju, kata Trevo dalam satu kenyataan hari ini.
“POC berhasrat mengenal pasti ruang penambahbaikan, termasuk halangan serta jurang di dalam sistem yang mungkin akan muncul apabila komuniti perkongsian kereta semakin berkembang kelak, seperti perlindungan insurans yang diperlukan dan langkah-langkah keselamatan lain, rangka kerja perundangan dan pelesenan, serta ketakjelasan yang mungkin berlaku.
“Ini boleh memperkasakan pasaran perkongsian kereta yang selamat dan efisien,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia Leon Foong berkata, dalam apa jua aktiviti ekonomi sekali pun, adalah penting untuk sentiasa menginovasi cara baru bagi menjana pendapatan dan mencipta lebih banyak nilai dalam pemilikan aset.
“Ini adalah benar terutama sekali dalam iklim ekonomi hari ini, dengan kadar pengangguran pada bulan Jun berada pada tahap 4.9 peratus dan kira-kira 773,200 orang tiada pekerjaan, tidak dilupakan juga mereka yang dikurangkan waktu bekerja serta dipotong gaji.
“Pastinya ramai rakyat Malaysia boleh mendapat manfaat daripada langkah mengoptimumkan kereta mereka untuk menjana pendapatan, yang boleh digunakan untuk membayar pinjaman kenderaan serta kos penyelenggaraan,” ujar beliau.
Beliau menambah mereka yang bekerja dari rumah juga boleh menyenaraikan kereta yang tidak digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.
TREVO menawarkan platform yang menghubungkan pengguna (tetamu) dengan pemilik kereta (hos) yang membolehkan tetamu menempah mana-mana kereta yang memenuhi keperluan mobiliti mereka dan membolehkan hos mendapat pendapatan tambahan bagi mengurangkan kos pemilikan kereta.
Pemilik kereta boleh menampung sehingga 85 peratus pinjaman kereta mereka dengan hanya berkongsi kereta mereka di dalam Trevo untuk minimum 10 hari sebulan.
Mereka boleh menetapkan harga sendiri asalkan ia berada di dalam julat harga yang disediakan oleh algoritma Trevo.-Bernama