Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Transformasi pertanian berteknologi, libat generasi muda perkasa keterjaminan makanan menjelang 2030
  • Tengah
  • WILAYAH

Transformasi pertanian berteknologi, libat generasi muda perkasa keterjaminan makanan menjelang 2030

Utusan Sarawak 5 hours ago
UCAPAN… Tan Sri William Mawan Ikom berucap pada majlis penangguhan Pakan Agrofest 2026, semalam. Foto UKAS

PAKAN: Transformasi sektor pertanian melalui teknologi, inovasi dan penglibatan generasi muda perlu terus diperkasa bagi memastikan keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan rakyat menjelang 2030.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, sektor pertanian kini bukan lagi sekadar aktiviti tradisional, sebaliknya telah berkembang menjadi industri moden yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang perniagaan yang lebih luas.

Katanya, penganjuran Pakan Agrofest 2026 bukan sahaja menjadi platform mempromosikan hasil pertanian dan inovasi tempatan, malah berfungsi sebagai medan yang menghubungkan petani, usahawan tani, pelabur, agensi kerajaan dan masyarakat umum.

TAN Sri William Mawan Ikom bergambar bersama Datuk Larry Sng Wei Shien dan yang lain. Foto UKAS

“Program ini mampu menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor agroindustri serta membuka ruang kepada usahawan tani tempatan untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu yang lebih menguntungkan.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat serta memperkukuh keterjaminan makanan, selaras dengan tema program tahun ini iaitu ‘Inovasi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan’,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan program tersebut bertempat di Laman Pakan, semalam.

Tambahnya, di bawah pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sektor pertanian telah dikenal pasti sebagai antara sektor utama yang bakal menjana pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif di Sarawak.

ANTARA yang hadir pada majlis penangguhan Pakan Agrofest 2026. Foto UKAS

“Bagi merealisasikan aspirasi ini, kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti peladang amat penting. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata.

“Sebaliknya, kita perlu berani memanfaatkan teknologi pertanian pintar, mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP), memperkukuh sistem pemasaran serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan,” katanya.

Katanya, Bahagian Sarikei yang merangkumi Daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab pengeluaran makanan utama di Sarawak.

“Daerah Pakan khususnya terkenal dengan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan serta pelbagai produk hiliran unik seperti perkasam ensabi, ragi dan produk berasaskan lada yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan pelbagai program pembangunan pertanian termasuk penyediaan bantuan input pertanian, latihan dan kursus secara in-situ dan ex-situ, selain pembinaan serta penaiktarafan jalan-jalan kebun bagi meningkatkan produktiviti para petani.

“Saya yakin dengan sokongan berterusan kerajaan dan komitmen para pengusaha tani, sektor pertanian di Bahagian Sarikei akan terus berkembang pesat dan mampu menyumbang secara signifikan kepada agenda keterjaminan makanan Sarawak menjelang 2030,” katanya lagi.

Mawan turut menegaskan bahawa penglibatan aktif sektor swasta amat penting dalam memperkukuh ekosistem pertanian negeri melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), penggunaan teknologi pertanian pintar, automasi, mekanisasi ladang serta inovasi yang mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat, khususnya golongan muda, supaya mengubah persepsi terhadap sektor pertanian yang kini menawarkan peluang kerjaya lebih berdaya maju dan berpotensi menjana pendapatan tinggi.

“Pertanian masa kini adalah industri moden yang berasaskan ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi. Sektor ini mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Oleh itu, kita perlu mengubah pemikiran masyarakat, khususnya golongan muda, agar melihat pertanian sebagai satu kerjaya yang berdaya maju, berprestij dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien. 

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Operasi SAR lelaki hilang di Sungai Baram ditamatkan selepas lapan hari
Next: Empat pemburu berjaya tangkap buaya berukuran 3.18 meter di Sungai Suai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.