Tragedi pantai Australia Selatan: Wanita dan anak ditemukan maut, bayi masih hilang

Facebook
WhatsApp
CAPE Northumberland, Australia Selatan. Foto Agensi

CANBERRA: Operasi mencari seorang bayi yang hilang sedang giat dijalankan selepas seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemukan maut di laut berhampiran pantai Australia Selatan (SA) semalam, lapor Xinhua.

Mayat wanita berusia 36 tahun dan anak kecilnya itu ditemukan oleh seorang anggota polis yang bertindak balas terhadap laporan mengenai sebuah kereta dengan enjin masih hidup di kawasan parkir berhampiran puncak tebing di pantai tenggara SA semalam.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke darat oleh pasukan perkhidmatan kecemasan dengan bantuan nelayan tempatan, manakala operasi mencari bayi yang hilang itu dilancarkan melalui laluan darat, laut dan udara.

Operasi pencarian ditangguhkan semalam sebelum disambung semula hari ini.

“Kami amat bimbang. Kanak-kanak itu berusia kurang setahun dan keadaan semasa menimbulkan kebimbangan serius mengenai keupayaannya untuk terus hidup,” kata Superintendan Polis SA, Trent Cox, kepada pemberita semalam.

“Kami terbuka kepada sebarang kemungkinan, namun saya tidak menaruh harapan tinggi.”

Beliau berkata, polis sedang meneliti pergerakan wanita itu semalam serta bagaimana beliau dan kanak-kanak berkenaan boleh berada di laut. – Bernama