
MIRI: Tragedi 12 Julai 2019 kekal terpahat di ingatan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sufri Alulakal sebagai pengalaman pertamanya terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) yang meragut nyawa.
Tragedi lewat petang itu melibatkan kejadian banjir kilat di Gua Rusa, Taman Negara Mulu di Miri yang mengorbankan dua mangsa, iaitu pemandu pelancong warga tempatan Roviezal Robin, 20 dan pelancong dari Belanda Dr Peter Hans Hovenkamp, 66.
Di sebalik duka itu, kejadian turut membuka mata pihak berwajib tentang kesukaran usaha menyelamat di lokasi sedemikian yang seterusnya membawa kepada penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOCSAR) setahun kemudian.
Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Mohd Sufri, 30, yang ketika itu bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong serta baru setahun bergelar pegawai bomba, berkata ketika diarahkan menyertai SAR tersebut beliau baru tiga bulan menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

“Ketika itu saya masih baru dalam pasukan, tapi apabila diberi tugasan di (Taman Negara) Mulu, saya tahu misi tersebut bukan operasi biasa,” katanya yang ditemui semasa mengiringi ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang menyertai Ekspedisi Gunung Api Mulu, baru-baru ini.
Dalam ekspedisi itu, 10 pengamal media KDJA daripada pelbagai agensi menyahut cabaran menawan puncak Gunung Api atau Pinnacle Mulu bersempena dengan Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai.
Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mempunyai jaringan gua terpanjang di dunia dengan Gua Rusa merupakan antara terbesar di dunia dari segi saiz ruang utama yang seluas kira-kira dua hektar dan setinggi 122 meter.
Terkenal dengan keindahan semula jadinya seperti formasi batu kapur berusia jutaan tahun dan menjadi habitat jutaan kelawar, gua itu turut memiliki struktur dalaman serta sistem pengairan yang kompleks, mendedahkannya kepada kejadian pusaran air dan arus deras secara tiba-tiba, khususnya ketika hujan lebat.
CABARAN
Mengimbau kembali misi SAR tersebut, anak jati Pulau Bum Bum, Sabah itu berkata beliau berserta beberapa lagi anggota dan pegawai STORM diterbangkan dengan helikopter JBPM pada pagi 13 Julai.
Menurutnya, ketika mereka tiba di lokasi, mayat Hans Hovenkamp sudahpun ditemukan – terapung di Sungai Melinau George di dalam gua berkenaan.

“Tugas kami ialah mencari Roviezal. Walaupun bah telah surut, laluan sempit dan keadaan gua yang gelap selain bahaya jeram dan struktur batu kapur, menjadikan pencarian itu lebih berisiko,” kongsinya.
“Cabaran di sini kita perlu menyelam kerana air sungai begitu dalam hingga paras hidung,” tambah beliau yang juga anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM.
Mohd Sufri berkata mayat mangsa kedua itu ditemukan pada hari ketiga SAR, tersangkut di sebatang kayu balak berhampiran pintu masuk gua.
Kini, selepas tujuh tahun berkhidmat dengan JBPM, beliau berkata misi SAR di Gua Rusa itu kekal sebagai paling mencabar buat dirinya.
“Disebabkan tragedi itu juga satu daripada trek dalam Gua Rusa, The Garden of Eden, yang menuju air terjun Sungai Melinau George, iaitu lokasi kejadian banjir kilat berlaku, telah diarahkan tutup buat selama-lamanya atas faktor keselamatan,” katanya.
Sementara itu, adik kepada Roviezal, Gideon Robin yang berusia 15 tahun ketika kejadian menimpa abangnya, berkata dia menerima perkhabaran tentang tragedi berkenaan semasa dia berada di sekolah.
“Mula-mula orang tidak mahu beritahu (mangsa ialah abang saya), sebaliknya cuma cakap ada pelancong hilang. Kemudian baru saya tahu abang saya juga terlibat,” katanya.
Gideon, 20, kini meneruskan legasi mendiang abangnya menjadi pemandu pelancong dan porter di taman negara itu, manakala abang sulung mereka Willvien Robin, 31, menyertai MOCSAR demi mencurahkan bakti kepada masyarakat susulan tragedi yang menimpa Roviezal.
KEUNIKAN PENYELAMATAN GUA DI SARAWAK
Penubuhan MOCSAR oleh JBPM Sarawak bertujuan menguruskan kawasan berisiko tinggi seperti taman negara dan gua di negeri itu.
Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata sejak penubuhan MOCSAR pada 2020, pasukan itu kini mempunyai 18 anggota yang antaranya terdiri daripada kakitangan Taman Negara Mulu, malim gunung, porter serta pemandu pelancong yang mahir dengan keadaan muka bumi setempat.
Pasukan itu berfungsi sebagai unit bantuan JBPM dengan calon anggota perlu menjalani kursus intensif selama 100 jam termasuk latihan tali, teknik penyelamatan menegak “hauling and lowering” serta pertolongan cemas, selain latihan kompetensi teknikal tambahan selama 50 jam bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa tinggi.

“Cabaran dan keunikan penyelamatan kawasan gua di Sarawak ialah bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, penuh dengan gua dan gaung. Di taman negara ini, dianggarkan 10,000 hingga 15,000 orang mendaki gunung setiap tahun,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau lagi, sebaiknya anggota MOCSAR terdiri daripada orang tempatan yang memahami adat resam dan budaya komuniti setempat.
“Ada kawasan gua yang dianggap suci oleh masyarakat setempat, khususnya etnik Berawan dan Penan,” kongsinya lagi.
Berikutan tragedi Gua Rusa, Jamri berkata JBPM menetapkan MOCSAR sebagai first responder dalam operasi gua dan pergunungan, sekali gus membolehkan masa tindak balas yang jauh lebih pantas berbanding sebelum ini.
“Respons untuk pasukan bomba tiba di lokasi pergunungan mengambil masa yang lama, disebabkan oleh faktor jarak lokasi balai dan bentuk muka bumi kawasan tersebut,” jelas beliau.
Beliau mengambil contoh BBP Marudi, balai bomba terdekat dengan taman negara itu, yang terletak kira-kira 120 kilometer dari pejabat Taman Negara Mulu.
Enam tahun telah berlalu, namun tragedi Gua Rusa meninggalkan parut yang mendalam di ingatan banyak pihak.
Sekalipun begitu, di sebalik kehilangan tersebut tersingkap satu hikmah kerana daripada tragedi berkenaan lahirnya pasukan elit penyelamat negara yang khusus untuk kawasan pergunungan dan gua, sekali gus meningkatkan lagi peluang menyelamatkan nyawa.
–Bernama