SEPANG: Lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan secara beransur-ansur pada tahap 42 peratus secra purata sejak penularan Covid-19, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Pada Mac ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, ketibaan penumpang antarabangsa di lapangan terbang adalah pada sekitar dua peratus, manakala tiga peratus bagi ketibaan penumpang tempatan, katanya.
Beliau berkata, pergerakan trafik penumpang pada bulan Julai dan Ogos masing-masing adalah sekitar 1.3 juta, berbanding pada Jun 2020, ia hanya sekitar 430,000 sahaja.
“Walaupun ini adalah petanda baik, ia akan mengambil masa sebelum kita dapat melihat jumlahnya naik sama seperti sebelum berlakunya pandemik itu,” kata Wee kepada pemberita selepas melancarkan platform e-dagang MAHB, shopMYairports untuk membantu perniagaan peruncit di lapangan terbang pulih semula akibat Covid-19.
MAHB menguruskan sebanyak 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dengan lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 landasan pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL).
Di platform e-dagang, Wee berkata, ia menyediakan peruncit di lapangan terbang pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif untuk perniagaan.
“Pendigitalan adalah perkara penting dalam menyesuaikan dalam persekitaran kebiasaan baharu untuk memudahkan pelanggan dan pada masa yang sama membeli-belah dengan selamat dan lancar tanpa sentuhan.
“Majoriti peruncit di lapangan terbang dikategorikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), justeru itu ia sangat penting untuk memberi sokongan kepada mereka dengan peralatan dan kemahiran yang sesuai dan juga bagi membantu mereka dengan pelan perniagaan untuk kelestarian jangka panjang,” katanya. – Bernama