SIBU: Kerajaan disaran menilai semula sistem percukaian negara secara menyeluruh dan tidak mewujudkan pendekatan hibrid GST-SST yang dikhuatiri menambah kerumitan serta kos pematuhan kepada dunia perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, sekiranya kerajaan mengakui mekanisme GST mempunyai kelebihan dari aspek kecekapan dan ketelusan, penilaian menyeluruh perlu dibuat terhadap sistem percukaian negara, bukannya memasukkan elemen GST secara berperingkat ke dalam SST.
“Jika kerajaan kini mengiktiraf kecekapan dan ketelusan mekanisme GST, persoalannya ialah mengapa kita perlu memasukkan elemen tersebut secara sedikit demi sedikit ke dalam kerangka SST yang semakin kompleks?
“Bukankah lebih wajar untuk kita menilai secara terbuka sistem percukaian mana yang benar-benar mampu memberikan ketelusan, kecekapan, akauntabiliti dan kemudahan pematuhan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lau berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kementerian Kewangan akan mengkaji penambahbaikan terhadap SST, termasuk kemungkinan memasukkan elemen tertentu daripada GST.
Menurutnya, SST dan GST mempunyai struktur, falsafah serta mekanisme berbeza, justeru usaha mencampurkan kedua-duanya tidak semestinya menghasilkan sistem yang lebih baik.
“Pendekatan itu boleh menyebabkan wujudnya rejim percukaian yang sukar difahami, ditadbir dan dipatuhi oleh perniagaan,” ujarnya.
Katanya, keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana sektor perniagaan ketika ini sudah berdepan pelbagai tuntutan pematuhan, termasuk pelaksanaan e-Invois yang memerlukan penyesuaian sistem perakaunan serta prosedur pentadbiran.
“Bagi syarikat besar, kos sedemikian mungkin masih boleh diuruskan, namun bagi PKS, setiap tambahan keperluan pematuhan membawa implikasi kos dan sumber yang lebih besar.
“Dalam keadaan perniagaan berdepan ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos operasi dan cabaran pasaran, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk memudahkan pematuhan serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan, bukannya menambah satu lagi lapisan kerumitan,” jelasnya.
Lau turut mengingatkan bahawa SST diperkenalkan semula pada 2018 sebagai sistem yang dilihat lebih mudah dan kurang membebankan berbanding GST.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran memasukkan semakin banyak mekanisme GST ke dalam SST sehingga akhirnya menghasilkan sistem yang pada hakikatnya menyerupai GST tetapi masih menggunakan kerangka SST.
Lau menyifatkan keadaan itu berpotensi mewujudkan ‘GST berselindung’ yang bukan sahaja sukar difahami rakyat, malah meningkatkan ketidakpastian dalam kalangan komuniti perniagaan.
“Rakyat dan dunia perniagaan tidak memerlukan ‘GST berselindung’ dalam kerangka SST yang semakin rumit.
“Apa yang diperlukan ialah sistem cukai yang tersusun, telus, boleh diaudit dan cekap, dengan rantaian transaksi yang jelas supaya kerajaan dapat mengutip hasil secara berkesan tanpa mengenakan beban pematuhan yang tidak perlu kepada perniagaan,” tegasnya.
Lau berkata, reformasi cukai tidak seharusnya dilihat sebagai usaha meningkatkan hasil kerajaan semata-mata.
“Sebaliknya, sebarang peningkatan kecekapan kutipan hasil perlu diterjemahkan kepada ruang fiskal yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban pembayar cukai dan membantu rakyat.
“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah mengkaji semula kadar atau struktur cukai pendapatan apabila keadaan mengizinkan serta memperkukuh bantuan dan manfaat bersasar kepada rakyat,” ujarnya.
Katanya, ruang fiskal yang lebih baik seharusnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah dan merangsang penggunaan domestik.
“Pada akhirnya, reformasi cukai bukan sekadar soal bagaimana kerajaan mengutip lebih banyak hasil, tetapi bagaimana kita membina sistem yang adil, mudah, telus dan cekap,” ujarnya.
Lau berkata, kerajaan kini mempunyai peluang untuk mengadakan perbincangan lebih fundamental mengenai bentuk sistem percukaian yang benar-benar sesuai untuk Malaysia, termasuk menilai secara menyeluruh sama ada SST yang ditambah baik dengan elemen GST merupakan pilihan terbaik.
“Persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada kita benar-benar mahu terus menambah lapisan kepada SST, atau berani menilai secara menyeluruh sistem percukaian yang kita mahu untuk masa depan negara.
“Yang penting, sistem itu mesti mampu menjamin hasil kerajaan, tetapi pada masa sama tidak mengorbankan daya saing perniagaan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Oleh Akun Giman





