
BEKENU: Kaum Kedayan di Bekenu terus mengekalkan tradisi Makan Tahun sebagai simbol kesyukuran atas rezeki dan hasil tuaian yang diperoleh, sambil berkongsi kegembiraan bersama masyarakat pelbagai kaum dari dalam dan luar Daerah Subis.
Pada suatu ketika dahulu, sambutan Makan Tahun diadakan secara serentak dari rumah ke rumah mengikut adat dan tradisi masyarakat Kedayan yang diwarisi turun-temurun.
Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Miri, Ahmad Zaini, berkata perayaan itu bukan sahaja menjadi wadah menzahirkan rasa syukur, malah berperanan mengukuhkan perpaduan, memelihara warisan budaya serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini perlu diteruskan dan dikekalkan kerana tradisi Makan Tahun tidak diadakan di daerah-daerah lain dalam Bahagian Miri.
“Antara acara penting dalam program ini ialah penyediaan masakan kenduri rakyat secara gotong-royong yang melambangkan semangat perpaduan. Ia merupakan satu tradisi yang wajar terus dipelihara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Tahun 2026 Kampung Bulau Hilir, di sini, hari ini.

Sementara itu, wakil Kumpulan Skuter Bakam Miri, Saruji Junaidi, berkata rombongan mereka yang terdiri daripada 20 penunggang motosikal pelbagai kaum berasa teruja dapat menyertai program berkenaan.
“Sepanjang perjalanan dari Miri ke Bekenu sehingga ke Kampung Bulau Hilir, kami amat teruja kerana menerima jemputan daripada jawatankuasa penganjur untuk turut memeriahkan acara di kampung ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung atas jemputan yang diberikan,” katanya.
Pada majlis tersebut, setiap pengunjung menerima bungkusan istimewa berupa kelupis sebagai bekalan perjalanan pulang. Pemberian itu juga menjadi simbol penghargaan dan tanda bahawa mereka telah menikmati hidangan yang disediakan oleh penduduk kampung.
Oleh Adum Liu