Tradisi agih bubur pedas dan bubur caca diteruskan

Facebook
WhatsApp

BERGOTONG-ROYONG memasak bubur pedas.

Setiap kali muncul Ramadan, ahli jawatankuasa Program Kejiranan Mesra Kampung No. 5 di Kuching sudah awal-awal merangka program bagi meneruskan tradisi agihan Bubur Pedas dan Bubur Cha-Cha di sekitar kampung berkenaan.

Selain untuk menyantuni orang ramai, khasnya penduduk kampung, program ini juga bertujuan merapatkan lagi silaturahim dalam kalangan pihak penganjur serta meneruskan tradisi gotong-royong bagi menjayakan pelbagai program.

Untuk tahun ini, program tersebut telah diadakan pada 17 April lalu di pekarangan Surau Nurul Islam dan dijayakan dengan kerjasama ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Lajim dan Ahli Jawatankuasa Surau Nurul Islam.

Seawal 9:00 pagi lagi semua ahli jawatankuasa dan penduduk kampung yang terlibat sudah siap sedia dengan tugasan masing-masing untuk memproses bahan-bahan masakan.

Menurut Pengerusi KRT merangkap Setiausaha Surau, Cikgu Ishak Bujang, kerja-kerja memasak berjalan lancar dan beliau bersyukur kerana semua ahli memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program berkenaan.

“Semangat perpaduan dan sikap kerjasama antara ahli jawatankuasa dan penduduk kampung jelas dirasai serta ditunjukkan semasa program yang dijalankan.  Inilah yang mendorong pihak kami untuk meneruskan tradisi ini setiap kali Ramadan,” kata beliau.

Program berkenaan juga dimeriahkan lagi dengan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf di kampung berkenaan.

“Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan sasaran menempuhi Ramadan ini,” kata Ishak.

Sementara itu, majlis turut dihadiri  oleh  Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Komuniti (COS) DBKU Rudzaimeir Malek dan Pegawai Penyelaras DBKU N8 Satok,  Elizabeth Nawie.

Kemeriahan lebih terasa pada akhir program dengan  agihan bubur pedas dan bubur cha cha  kepada penduduk kampung.

Belajar bersabar, jangan rasa tercabar

BELAJAR bersabar, jangan rasa tercabar adalah satu nasihat yang sangat mendalam. Jika diteliti dengan terperinci, sabar adalah kekuatan dalaman dan

Islam mengangkat martabat pekerja

DALAM Islam, pekerjaan bukan sekadar cara untuk memperoleh rezeki, malah ia merupakan satu bentuk ibadah yang mulia jika dilakukan dengan