
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Sarawak, hari ini.
Beliau dan rombongan berlepas pulang ke ibu negara menaiki pesawat khas melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, di sini pada 10.00 pagi tadi.
Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah kembali ke rahmatullah pada 3.34 pagi tadi.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tiba di Kuching pada Sabtu lepas dan telah menghadiri Majlis Pecah Tanah Jalan Dari Kampung Kupang Ke Simpang Bajau, Saratok dan Majlis Makan Malam sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Turut hadir mengiringi beliau di Pangkalan Udara TUDM Kuching ialah Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.
-Jabatan Penerangan Sarawak