
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dengan kerjasama 12 pemain industri termasuk agensi pelancongan, hotel dan pusat kesihatan menawarkan 36 pakej pelancongan wellnessyang menggabungkan elemen kesihatan, budaya dan alam semula jadi.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pakej berkenaan yang dilancarkan hari ini bertujuan mempelbagaikan pakej pelancongan yang boleh ditawarkan terutama kepada mereka yang ingin merehatkan diri serta ingin mencuba pelbagai rawatan diri.
“Penawaran bermula daripada RM248 merangkumi pelbagai pengalaman kesejahteraan seperti terapi urutan tradisional Melayu untuk melegakan ketegangan otot, aktiviti pernafasan taici untuk meningkatkan ketenangan mental dan fizikal, forest bathing sambil menikmati suasana alam sekitar, mandian air panas yang menyegarkan dan pelbagai lagi.
“Tempoh sah pakej-pakej ini hingga 31 Disember 2026 tertakluk kepada terma dan syarat,” menurut kenyataan itu.
Selain pakej wellness, program itu turut menawarkan lawatan ke destinasi menarik di sekitar kawasan yang menawarkan pakej berkenaan seperti lawatan ke perkampungan budaya, tarikan semula adi seperti kolam air panas serta lokasi lain yang sesuai untuk aktiviti riadah serta rekreasi yang boleh dinikmati pelancong.
Menurut Tourism Malaysia, terdapat 365 spa berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menyediakan pelbagai jenis rawatan antaranya urutan batu panas, lulur tradisional, aromaterapi, rawatan ibu bersalin, terapi hidro, mandian herba dan terapi Ayurveda serta urutan Malaysia yang menggabungkan teknik penyembuhan tradisional daripada pelbagai budaya di Malaysia.
“Rawatan yang mendapat perhatian ramai antaranya rendaman kaki herba Malaysia, teknik pernafasan Qi Gong yang berasal daripada masyarakat Cina, urutan kepala daripada masyarakat India, serta rawatan refleksologi yang bukan sahaja membantu mengurangkan ketegangan fizikal, tetapi juga menyelaraskan kesihatan tubuh, minda dan rohani,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod respons pantas (QR) yang disediakan atau melalui laman web Tourism Malaysia www.malaysia.travel. – Bernama