
LONDON, United Kingdom: Tottenham Hotspur pada Isnin mengumumkan pembelian pemain tengah Itali, Sandro Tonali, daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United, menerusi perpindahan yang dilaporkan mencecah rekod kelab £100 juta (AS$133.4 juta).
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai kelab dari utara London itu dengan kontrak selama tiga tahun. Menurut BBC, yuran perpindahan awal bernilai £92.5 juta dengan tambahan £7.5 juta menerusi bonus berdasarkan prestasi.
“Saya sangat gembira berada di sini.”Saya berbincang hampir dua jam dengan ketua jurulatih (Roberto De Zerbi) mengenai kelab, penyokong, stadium dan corak permainan kami. Ia seperti magis kerana saya terus tahu bahawa saya perlu menyertai Tottenham,” kata Tonali dalam kenyataan di laman sesawang Tottenham.
Pengurus Tottenham, Roberto De Zerbi, menyifatkan Tonali sebagai “pemain istimewa dan satu pembelian hebat buat kelab”.
Tonali menyertai Tottenham selepas tiga musim bersama Newcastle yang membelinya daripada AC Milan pada Julai 2023 dengan nilai £55 juta.
Sepanjang bersama Newcastle, beliau membuat 110 penampilan dan membantu kelab itu menjulang Piala Liga, trofi utama pertama Newcastle dalam tempoh 70 tahun, dua musim lalu.
Bagaimanapun, kariernya di St James’ Park turut dicemari hukuman penggantungan selama 10 bulan di seluruh dunia kerana kesalahan berkaitan pertaruhan bola sepak.
Persekutuan Bola Sepak Itali menjatuhkan hukuman itu pada Oktober 2023 selepas Tonali didapati melanggar peraturan yang melarang pemain bertaruh dalam perlawanan bola sepak anjuran badan itu, UEFA dan FIFA ketika masih beraksi di Itali.
Pada Mei 2024, beliau turut dikenakan penggantungan dua bulan yang ditangguhkan selepas mengaku melanggar peraturan pertaruhan Persatuan Bola Sepak England (FA).
Tonali telah membuat 32 penampilan bersama skuad kebangsaan Itali dan menjaringkan empat gol.
Selepas terselamat daripada penyingkiran ke Liga Kejuaraan musim lalu, Tottenham kini giat memperkukuh skuad apabila Tonali menjadi pembelian mahal ketiga mereka pada jendela perpindahan kali ini.
Sebelum ini, Spurs mendapatkan Mateus Fernandes daripada West Ham United dengan nilai dilaporkan £85 juta, yang ketika itu menjadi rekod kelab, selain pertahanan tengah Belanda, Jan Paul van Hecke, dengan nilai £52 juta.
Perbelanjaan besar itu menandakan perubahan strategi Tottenham selepas sebelum ini mengamalkan struktur gaji yang lebih ketat di bawah bekas pengerusi, Daniel Levy.
Keluarga Lewis selaku pemilik majoriti Tottenham berjanji membiayai usaha membina semula pasukan selepas meminta Levy melepaskan jawatan pada September lalu.
Tottenham turut memperkukuhkan benteng pertahanan dengan mendapatkan Andy Robertson dari Liverpool serta pertahanan antarabangsa Argentina, Marcos Senesi, secara perpindahan percuma. – AFP