BELAGA: Penganjuran Program Pemerkasaan Komuniti 3.0 yang berlangsung di Uma Badeng, Sungai Asap di sini baru-baru ini, dilihat dapat menonjolkan pendekatan bersepadu dalam menangani cabaran sosial di kawasan pedalaman Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, cabaran sosial tidak dapat diselesaikan secara bersendirian, malah memerlukan kerjasama pelbagai pihak melalui pendekatan holistik.
“Isu dan cabaran sosial yang dihadapi oleh individu atau komuniti adalah kompleks dan tidak dapat diselesaikan secara silo oleh mana-mana pihak.
“Oleh itu, pendekatan intervensi yang menyeluruh, holistik dan bersepadu daripada pelbagai pihak amat diperlukan.
“Kerjasama erat antara agensi kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuh melalui platform strategik yang membolehkan penyelarasan sumber dan usaha,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan program tersebut.
Program tersebut melibatkan 39 pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai sebahagian daripada kursus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian Program.
Dalam ucapannya, Chukpai turut mengumumkan penubuhan Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC) di Daerah Kecil Sungai Asap, hasil daripada peruntukan sebanyak RM40,000 menerusi dua siri program terdahulu.
“Penubuhan CDIC adalah satu daripada lima strategi dalam Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak bagi memperluas akses serta rujukan rawatan dan pemulihan yang berterusan.
“Ia merupakan sebuah pusat rujukan pencegahan, rawatan dan pemulihan untuk individu dan keluarga yang terjebak dengan penyalahgunaan substans bagi menyokong usaha rawatan dan pemulihan berasaskan komuniti yang dijalankan oleh pelbagai pihak,” ujarnya.
Beliau berharap CDIC dapat menjadi pemangkin kepada usaha menangani isu dadah di kawasan Sungai Asap, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, dan komuniti setempat.
Oleh Carolyne Utih