SIBU: Seorang bapa dan anak lelakinya cedera parah selepas tong gas memasak meletup di rumah mereka di Lorong Permai Timur 9, petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.15 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, letupan tersebut dipercayai berpunca daripada kebocoran tong gas yang menyebabkan kebakaran kecil pada mesin basuh di dapur rumah mangsa.
“Letupan turut menyebabkan kerosakan pada siling dapur, namun tiada kebakaran besar berlaku.
“Bapa berusia 39 tahun dan anak lelakinya yang berumur 12 tahun mengalami kelecuran lalu dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Andy berkata, pasukan bomba bertindak memastikan lokasi kejadian selamat dengan memeriksa sisa tong gas untuk mengelak risiko letupan susulan.
“Operasi ditamatkan pada 1.35 petang setelah kawasan itu disahkan bebas daripada ancaman bahaya,” ujarnya.
Andy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tong gas dipasang dengan betul dan memeriksa keadaan getah penyambung secara berkala untuk mengelakkan kebocoran.
Oleh Akun Giman