BAKO: Satu tinjauan komuniti membabitkan Persatuan Pengusaha Bot Penumpang Bako diadakan di Taman Mesra Bako semalam bagi mendapatkan pandangan mengenai perkhidmatan pelancongan sedia ada serta meneroka potensi mempelbagaikan produk pelancongan di sekitar Taman Negara Bako.
Menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), sesi berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti cabaran yang dihadapi pengusaha bot tempatan, selain memahami keperluan komuniti setempat.


Tinjauan itu juga bertujuan meneroka kaedah untuk memperkukuh penglibatan komuniti serta mewujudkan lebih banyak peluang menjana pendapatan menerusi sektor ekopelancongan.
Maklum balas daripada komuniti dan pengusaha bot akan dijadikan input bagi menyokong perancangan serta pelaksanaan inisiatif pada masa hadapan, khususnya dalam usaha meningkatkan pengalaman pengunjung ke Bako.
Pada masa sama, usaha itu diharap dapat memastikan komuniti tempatan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekopelancongan di kawasan Taman Negara Bako.





