MIRI : Tenaga tambahan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasaan yang lain akan dikerah untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk meningkatkan tenaga penguatkuasaan seperti polis, ATM, RELA dan agensi penguatkuasa lain yang terlibat untuk menguatkuasakan dan memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan berikutan kes Covid-19 jangkitan dalam komuniti masih tinggi.
“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membeli aset tambahan termasuk drone dan kenderaan supaya mereka dapat bergerak dengan lebih cepat untuk menangani apa-apa masalah disebabkan penularan Covid -19,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat Pengurusan Bencana Bahagian Miri di sini, semalam.
Abang Johari berkata, langkah itu diambil dengan mempertimbangkan bahawa kes jangkitan dalam komuniti masih tinggi terutama di kawasan luar bandar dan daerah-daerah kecil terutama di Bahagian Miri.
“Saya telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri yang diketuai oleh Datuk Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan) serta agensi-agensi lain yang ditugaskan untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk membendung penularan Covid-19 dalam komuniti.
“Virus Covid-19 ini sangat aktif dan kita harus mengambil langkah tertentu untuk mengekang penularan wabak ini.
“Salah satu yang telah kami putuskan adalah untuk meningkatkan penguatkuasaan dan kami berharap orang ramai akan bekerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Melihat peningkatan jumlah kes Covid-19 di Beluru dekat sini, Abang Johari menasihati penduduk supaya tidak berkumpul walaupun tinggal di rumah panjang.
“Kita faham budaya di rumah panjang,kita bukan menganggu budaya anda tetapi dalam situasi sekarang, kita harus lebih berdisplin untuk memutuskan rantai jangkitan wabak ini kerana wabak ini boleh merebak dengan cepat.
“Saya juga ingin memohon kepada ketua-ketua rumah panjang dan masyarakat untuk memastikan penduduk mematuhi SOP dalam tempoh kritikal ini.
“Kerajaan negeri akan memberikan apa-apa sahaja bantuan yang diperlukan melalui agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu penduduk mengatasi keadaan sukar ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan barisan hadapan termasuk pihak hospital, kesihatan, agensi-agensi beruniform dan juga masyarakat yang telah memberi kerjasama begitu baik kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam menangani penularan Covid-19.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan yang juga merupakan menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Utliti Dato’ Sri Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.
Oleh LIONG CHAI LING