

SARIKEI: Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) menganjurkan Program Lawatan Akademik Keusahawanan ke Joy Bakery Sdn Bhd dengan tujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai operasi dan pengurusan perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Menurut kenyataan media KKSR semalam, lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha kolej dalam memperkasakan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Joy Bakery merupakan rakan kolaborasi strategik serta Industry on Campus (IoC) bagi KKSR.
“Kerjasama ini membolehkan pelajar mendapat pendedahan langsung kepada amalan industri sebenar serta peluang latihan yang lebih komprehensif dalam bidang keusahawanan makanan,” katanya.
Katanya, lawatan ini disertai oleh 21 pelajar serta pegawai pengiring dan mendapat sambutan baik daripada pihak Joy Bakery.
“Sepanjang lawatan ini, para pelajar berpeluang memahami strategi pemasaran, pengurusan perniagaan, serta inovasi produk oleh Joy Bakery.
“Sesi lawatan ini turut dimeriahkan dengan perkongsian ilmu oleh Pengurus Sumber Manusia Joy Bakery, Chua Sheau Ching.
“Beliau berkongsi pengalaman serta cabaran dalam industri perniagaan bakeri, merangkumi pengurusan operasi, pemasaran digital dan pembangunan produk baharu yang memenuhi permintaan pasaran,” jelasnya.
Tambahnya, pelajar turut didedahkan kepada peralatan dan mesin pembuat roti yang digunakan dalam industri.
“Selain sesi perkongsian, peserta turut dibawa melawat ke bahagian pemprosesan dan dapur penyediaan produk untuk melihat sendiri proses pembuatan pelbagai jenis roti dan kek yang menjadi produk utama syarikat tersebut.
“Sesi demonstrasi pembuatan produk bakeri turut diadakan, memberikan peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman langsung dalam penyediaan makanan di peringkat komersial.
“Menurut Pengarah KKSR Norasmah Jaafar, program seperti ini amat penting bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan dunia sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan atau keusahawanan,” katanya lagi.
Beliau juga menekankan kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan dan industri dalam melahirkan usahawan muda yang berdaya saing.
“Dengan adanya program seperti ini, diharapkan para pelajar dapat memperoleh ilmu yang berguna serta memperkukuhkan semangat keusahawanan mereka.
“KKSR akan terus berusaha menjalinkan kerjasama strategik dengan industri bagi memperluaskan peluang pembelajaran praktikal kepada para pelajar,” katanya.
OLEH EARL ANEK