KUCHING: Terdapat segelintir masyarakat awam dilihat masih degil dan tidak mengendahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, setelah hampir beberapa minggu Daerah Kuching mencatatkan laporan negatif jangkitan Covid-19, namun masih terdapat individu yang ingkar SOP PKPP walaupun sering diingatkan serta dihebahkan melalui media massa dan juga media elektronik.
“Tindakan tegas terus diambil kepada individu yang gagal mematuhi SOP sepanjang tempoh PKPP ini.
“Pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan berterusan dan dipergiatkan lagi bagi membendung sebarang kemungkinan penularan kembali Covid-19 yang telah menjadi pandemik,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Merbin berkata, dalam susulan pemeriksaan pematuhan SOP PKPP yang dijalankan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 September lalu, sebanyak 33 kompaun telah dikeluarkan kepada orang awam yang gagal dalam pematuhan SOP PKPP ini.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 27 individu adalah lelaki, manakala enam individu pula adalah wanita.
“Pemeriksaan dibuat secara berasingan oleh pasukan pemantau IPD Kuching yang telah dilantik melibatkan lokasi di sekitar Tebingan Sungai Sarawak Kuching, premis hiburan di Jalan Ang Cheng Ho dan juga premis aksesori kenderaan di Jalan Song,” ujarnya.
Beliau menjelaskan kompaun yang telah dikeluarkan tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari dengan jumlah kompaun sebanyak RM1,000.
Merbin turut menasihatkan agar masyarakat terus mematuhi SOP COVID-19 (PKPP) yang ditetapkan dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu yang dilihat gagal dalam pematuhan SOP PKPP ini dan akan terus mempergiatkan lagi pemantauan dan pemeriksaan ke atas semua premis serta tempat-tempat awam yang menjadi kunjungan ramai di daerah ini.
Antara garis panduan yang wajib diikuti oleh masyarakat awam termasuklah pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal dan juga bagi premis-premis, perlulah memastikan terdapat alat penyukat suhu badan, buku catatan nama serta cecair sanitasi.
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan sentiasa kekal berwaspada berkenaan dengan pandemik Covid-19 ini.
“Individu yang tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan manakala penjarakan fizikal juga perlu diamalkan pada setiap waktu dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia dan Sarawak amnya belum berjaya sepenuhnya dalam membendung pandemik ini dan hanya kerjasama daripada masyarakat awam sahaja yang boleh menentukan kejayaan ini.
Oleh Adi Safarman