KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa terperangkap dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat dua kuarters guru di SK Sungai Maong, di sini, hari ini.
Antara mangsa yang terlibat merupakan adik-beradik yang tinggal di tingkat tiga kuarters berkenaan.
Kesemua tiga mangsa yang diselamatkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.38 petang tadi.
Beliau berkata setibanya pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang di lokasi, kesemua mangsa sudah berada di kawasan balkoni.
Katanya, susulan keadaan api yang masih marak ketika operasi menyelamat, pihaknya tidak menggalakkan mangsa menggunakan tangga utama kuaters berkenaan, sebaliknya menggunakan tangga yang disediakan oleh bomba.
“Kuaters ini hanya memiliki satu tangga tunggal, menyebabkan mereka tidak ada pilihan lain, selain menggunakan tangga dari jentera bomba,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas selesai operasi pemadaman.
Salah satu unit rumah dari blok kuarters guru tiga tingkat ini disahkan terbakar 100 peratus dengan punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Kebakaran kuaters ini berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 8.15 malam tadi.
Beliau berkata semasa kejadian, pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran tidak berada di rumah berkenaan.
Selain tiga mangsa tersebut, pihak bomba juga berjaya membawa keluar tiga kucing yang terperangkap di dalam rumah yang sedang terbakar.
Bagaimanapun hanya dua daripada kucing tersebut selamat.
Menurut salah seorang mangsa yang terperangkap, Mohammed Ameerul Ashraf, 18, ketika kejadian, dia terkejut apabila melihat kepulan asap hitam diluar tingkap rumahnya.
Katanya, cubaanya untuk menyelamatkan diri bersama kakaknya menggunakan tangga utama terbantut selepas melihat kepulan asap tebal di tangga berkenaan.
“Ketika kejadian, saya sedang berehat (baring), selepas itu melihat asap tebal dari tingkap, jadi saya terus panggil kakak yang berada di dalam bilik. Pada mulanya saya ingatkan rumah sebelah yang terbakar, rupanya rumah di bahagian bawah.
“Ketika itu, saya sedar bahawa saya tidak boleh panik kerana kakak saya sudah panik. Kalau dua-dua panik nanti tidak tahu nak buat apa.
“Jadi kami cuba keluar menggunakan tangga utama, tetapi asap terlalu tebal, jadi terpaksa keluar menggunakan tingkap di bilik kakak saya.
“Saya turun sendiri dengan melompat ke balkoni tingkat dua, dan kemudian turun menggunakan tangga yang disediakan oleh pengawal keselamatan.
“Kakak saya pula diselamatkan oleh pihak bomba dengan menggunakan tangga mereka,” katanya.
Dalam pada itu, satu keluarga berjaya keluar sebelum ketibaan pihak bomba selepas tindakan pantas dari pengawal keselamatan memecah pintu rumah mereka bagi memberitahu kejadian tersebut.
Ketua keluarga tersebut, Nordin Johanny, 47, memberitahu semasa kejadian mereka langsung tidak menyedari akan kejadian tersebut sebelum pengawal keselamatan bertindak memecah pintu rumahnya dan membawa mereka ke tempat selamat.
“Ketika itu saya sedang berehat, selepas solat asar, saya tidur, dan isteri saya pula sedang solat, manakala anak sedang mandi.
“Saya ingatkan ada orang sedang bergaduh kerana suasana riuh diluar, rupanya pengawal keselamatan sedang cuba memanggil kami sekeluarga,”katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT