
BERLIN: Canselor Jerman Friedrich Merz hari ini mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza dengan menyifatkan tindakan itu semakin banyak mencederakan orang awam dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Bercakap di Forum Eropah WDR di Berlin, Merz berkata tahap kemusnahan terhadap orang awam sejak kebelakangan ini tidak lagi boleh dianggap sebagai sebahagian usaha Israel memerangi keganasan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Apa yang sedang dilakukan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza sekarang, yang menyebabkan penderitaan besar terhadap penduduk awam dan semakin meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini, tidak lagi boleh dijustifikasikan sebagai perjuangan menentang keganasan,” katanya.
Canselor itu mengakui yang Jerman secara tradisi berhati-hati dalam mengkritik Israel disebabkan sejarahnya, namun menegaskan bahawa situasi semasa memerlukan pendirian yang jelas.
“Apabila sempadan dilampaui, apabila undang-undang kemanusiaan antarabangsa benar-benar dicabuli, Jerman dan Canselornya perlu bersuara menyatakan sesuatu mengenainya,” katanya.
Merz turut menambah bahawa beliau berhasrat membangkitkan kebimbangan tersebut secara terus dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam pertemuan mereka minggu ini.
-Bernama